Salah Sahkan Liverpool Tak Ajak Bincang Kontrak Baharu, Indikasi Perpindahan Akan Berlaku?

Mohamed Salah mendedahkan belum ada mana-mana pihak dari pihak Liverpool FC yang tampil untuk melakukan rundingan dengan beliau mengenai lanjutan kontrak di kelab Merseyside itu setakat ini.

Kontrak pemain antarabangsa Mesir itu di Anfield akan tamat pada 2023. Ianya satu kebiasaan bagi mana-mana kelab di Eropah untuk menyambung kontrak pemain ketika baki kontrak memasuki dua musim terakhir.

Salah adalah nuklues kepada skuad Liverpool di bawah kenalian Jurgen Klopp sejak tiba dari Roma pada 2017, dan merupakan antara pemain paling menyerlah di Premier League sejak beberapa musim lalu.

Sejak didatangkan ke Anfield, Salah telah menjaringkan 120 gol dari 193 penampilan untk The Reds.

Menang semua kejuaraan

Walaupun masih belum memiliki koleksi medal Piala FA dan Piala Carabao di dalam kabinet kejuaraan simpanannya, Salah boleh dianggap telah memenangi semua kejuaraan utama yang dipertandingkan bersama Liverpool.

Mulai menyertai Liverpool pada musim panas 2017, Salah berjaya membawa Liverpool ke pertandingan akhir UEFA Champions League pada musim pertamanya sebelu dikecewakan Real Madrid. Beliau kemudiannya menebus kehampaan pada musim berikutnya untuk kejuaraan keenam Liverpool di pentas elit eropah itu.

Musim berikutnya adalah kenangan yang lebih manis buat Salah apabila berjaya membantu The Reds menamatkan kemarau kejuaraan liga selama 30 tahun. Pada tahun yang sama, Salah turut membantu Liverpool bergelar juara UEFA Super Cup, dan juga juara dunia.

Selain di England, Salah turut pernah beraksi di Itali bersama Roma dan Fiorentina selain Basel di Switzerland. Setelah kejayaan di England, adakah kini sampai masanya Salah turut menguji keupayaan dirinya di Itali atau pun Sepanyol – sesuatu yang telah dilakukan oleh Cristiano Ronaldo sehingga dinobatkan sebagai pemain abad ini.

Apa yang Salah katakan?

Melalui satu laporan oleh The Athletic, Salah mendedahkan tiada sebarang rundingan kontrak antara beliau dan Liverpool berlaku buat ketika ini.

“Tiada siapa pun tampil bercakap kepada saya mengenainya, jadi tidak banyak yang saya boleh dedahkan,” kata Salah mengulas mengenai masa depannya dalam satu temubual.

“Tiada ada pihak dari kelab bercakap kepada saya mengenai apa pun, jadi saya memang tidak tahu.”

Indikasi Salah akan berpindah?

Sejak beberapa bulan yang lalu masa depan Salah mulai menjadi bualan dan pemain ini sendiri pernah menyatakan minat untuk beraksi di Sepanyol suatu hari nanti.

Pada Disember lalu beliau berkata: “Saya berpendapat Madrid dan Barcelona adalah antara kelab besar. Kita tidak akan tahu apa yang akan berlaku pada masa hadapan. Semuanya berada di dakam tangan kelab.

Dalam temubual yang sama Salah turut merungut mengenai Jurgen Klopp yang menyerahkan lilitan kapten kepada Trent Alexander-Arnold dan tidak memberikan tugasan tersebut kepada beliau dalam pertandingan Champions League menentang Midtjylland.

Kemudian pada Mac lalu penyerang sayap berusia 28 tahun itu memberitahu MARCA bahawa suatu hari nanti beliau akan berhijrah meninggalkan Liverpool untuk beraksi di La Liga.

Kita semua juga tahu mengenai bahasa badan Salah setiap kali beliau dikeluarkan oleh Klopp dan hubungan beliau dengan Sadio Mane di atas padang – walapun ia sekadar perseteruan antara rakan sepasukan.

Salah kejar Ballon d’Or

Bukanlah perkara menghairankan mengapa Salah melihat Sepanyol, khususnya Barcelona dan Real Madrid sebagai destinasi seterusnya jika beliau meninggalkan Liverpool.

Ballon d’Or sudah pasti menjadi impian setiap pemain bola sepak dunia. Mohamed Salah tidak terkecuali memasang impian untuk memenangi anugerah paling berprestij kategori individu dalam dunia bola sepak ini.

Apakah peluang Salah untuk bergelar pemenang Ballon d’Or jika masih kekal bersama Liverpool? Jawapannya mungkin tiada dengan persaingan datang sendiri dari rakan sepasukan seperti Virgil van Dijk dan juga Sadio Mane.

Adakah Salah terdesak?

Setelah apa yang dilalui bersama Liverpool, Salah tidak berada di tahap di mana beliau akan memaksa perpindahan keluar dari Liverpool. Namun kerisauan pemain ini ialah mengenai pendirian kelab yang mungkin melihat perkara mengenai masa depannya dengan cara berlainan.

Tindakan Liverpool tidak melakukan sebarang rundingan kontrak pada ketika kedudukan kewangan masih terjejas akibat pandemik boleh difahami. Lagi pun tempoh dua tahun masih lagi tempoh yang lama untuk melakukan rundingan.

Namun bagi pemain seperti Salah, beliau juga mahukan kepastian dan janji kesetiaan dari Liverpool. Apatah lagi beliau adalah penjaring terbanyak pasukan untuk empat musim berturut-turut walaupun beliau bukannya seorang penyerang tengah.

Walaupun Liverpool bergelut dengan prestasi pada musim ini, Salah kekal sebagai antara pemain paling menyerlah. Setakat ini Salah hanya ketinggalan satu gol di belakang Harry Kane untuk Anugerah Kasut Emas musim ini.

Pemain itu sehingga kini telah menjaringkan 20 gol di Premier League dan turut menghasilkan tiga bantuan gol dari 32 penampilan setakat ini.

Penutup

Adakah Salah akan terus kekal bersama Liverpool sehingga bersara dan bergelar legenda kelab seperti Steven Gerrard atau pun Jamie Carragher?

Ataupun bakal digelar pembelot seperti Michael Owen kerana mengejar cita-cita peribadi bersama kelab lain?

Sukar untuk menyatakannya pada saat ini. Hanya masa yang akan menentukannya. Sila berikan pandangan anda di ruangan komen.

Baca artikel lain mengenai Mohamed Salah melalui pautan di bawah:

Klopp: Spekulasi Masa Depan Salah Tak Ganggu Prestasi Liverpool

David James: Liverpool Lebih Baik Tanpa Mohamed Salah

Cara Salah Sambut Kejuaraan, Derma RM160 Ribu Bina Pusat Ambulan Di Kampung

Leave a Reply