SAC 2020: Selangor Kempunan Kejuaraan Sulung Selepas Tewas Penalti Kepada Bangkok United

Perlawanan penentuan juara edisi sulung kejohanan Selangor Asia Challenge (SAC) 2020 berakhir dengan kekalahan pasukan tuan rumah kepada wakil Thailand, True Bangkok United menerusi penentuan sepakan penalti 4-2 selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan sepanjang 90 minit masa perlawanan.

Penjaga gol gantian Bangkok United, Warut Makemusik muncul wira pasukannya selepas berjaya menepis dua sepakan penalti oleh Zahril Azri Zabri dan Abdul Halim Saari. Pokklaw A-Nan yang mengambil sepakan terakhir mengesahkan kemenangan Bangkok Angels.

Dalam perlawanan kedua ini, Ketua Jurulatih Selangor, B. Satiananthan hanya membuat beberapa perubahan dalam kesebelasan utamanya berbanding perlawanan pertama dengan Nick Swirad, Safuwan Baharudin dan A. Namathevan memulakan perlawanan.

Beliau masih mengekalkan formasi 4-5-1 di mana Syahmi Safari bermain di posisi sayap kanan sementara Safuwan Baharudin, Brendan Gan serta Sandro Da Silva diberi kepercayaan untuk memacu bahagian tengah pasukan. Ifedayo Olusegun pula masih dikekalkan sebagai penyerang tunggal.

Selangor mendapat peluang awal pada minit kelima apabila Ifedayo yang menerima umpanan lambung Sandro dari sebelah kiri berjaya melepasi perangkap ofsaid dan terus membuat larian ke arah gol, namun beliau gagal merembat ke tepat arah gol sekalipun hanya berdepan situasi satu lawan satu dengan penjaga gol dan percubaannya tersasar ke arah kanan gawang gol lawan.

Memasuki minit ke-10, giliran Syahmi Safari pula menguji penjaga gol Bangkok, Michael Aksel Falkesgaard dengan membuat rembatan dari sebelah kanan namun berjaya ditepis sebelum dikeluarkan dari kawasan permainan oleh pertahanan.

Hanya dua minit selepas itu, giliran Bangkok United pula mangasak kubu pasukan tuan rumah menerusi percubaan penyerangnya, Chananan Pombuppha namun hanya sedikit sahaja tersasar di sebalah kanan pintu gol yang dikawal Farizal Harun.

Permainan mula nampak lebih seimbang dengan kedua-dua pasukan berusaha untuk mengekalkan penguasaan bola namun agak bergelut dengan permukaan padang yang teruk disebabkan cuaca hujan lebat sebelum perlawanan.

Kredit Foto: FA Selangor

Namun berlaku pergaduhan kecil di antara pemain kedua-dua pasukan pada minit ke-29 selepas Safwan Baharudin diterjah oleh Tossawat Lim Wanasathan sehingga menyebabkan kecederaan kepada pemain import dari Singapura itu.

10 minit terakhir separuh masa pertama, Selangor dilihat lebih banyak mendominasi permainan dengan membuat hantaran-hantaran pendek dan beberapa kali membuat percubaam ke arah gol namun tidak menemui sasaran.

Tiga minit sebelum waktu rehat, Selangor mendapat sepakan percuma selepas Ifedayo dijatuhkan di hadapan kotak penalti. Sepakan percuma yang diambil Sandro disambar Taylor Reegan namun tandukannya jauh tersasar.

Sehingga tamat babak pertama, kedua-dua pasukan masih buntu mencari gol pendahuluan yang diperlukan.

Untuk separuh masa kedua, hanya satu pertukaran dibuat di mana penjaga gol kebangsaan, Khairul Azhan Mohd Khalid dibawa masuk menggantikan Farizal Harun. Lima belas minit pertama separuh masa kedua, Bangkok United lebih banyak menguasai perlawanan dengan membuat asakan bertali arus ke kubu Selangor.

Selepas sejam perlawanan berlangsung, masih tiada sebarang gol dihasilkan. Satiananthan mengeluarkan Syazwan Zainon, Safwan Baharudin dan K. Prabakaran dengan memasukkan Sean Selavaraj, Abdul Halim Saari dan Afiq Azrin Rusmini.

Pada minit ke-70, Anwar Ibrahim pula dibawa masuk menggantikan Namathevan di posisi pertahanan kanan sementara Ashmawi Md Yakin pula menggantikan Nick Swirad di pertahanan tengah. Syahmi Safari pula digantikan oleh Wan Zack Haikal.

Kredit Foto: FA Selangor

Azrin Afiq membuat percubaan dari sebelah kiri pada minit ke-78, namun rembatannya hanya singgah di palang gol dan penjaga gol Thailand hanya mampu melihat tanpa membuat apa-apa.

Berbaki 10 minit perlawananm Wan Zack Haikal yang baru masuk bermain beberapa minit terpaksa dikeluarkan kerana mengalami kecederaan otot dan digantikan dengan K. Sarkunan. Ketua pasukan, Taylor Reegan, Sandro dan Brendan Gan turut dikeluarkan dan digantikan dengan M. Thamilmaran, Mukhairi Ajmal dan Zahril Azri Zabri.

Sehingga tamat 90 minit masa sebenar dan empat minit masa kecederaan, kedua-dua pasukan masih terikat tanpa jaringan dan pemenang perlu ditentukan menerusi sepakan penalti. Hanya Ifedayo sahaja pemain kesebelasan utama yang kekal di atas padang.

Selain Pokklaw, tiga penjaring gol penalti Bangkok United adalah Vander Luis, Tristan Do dan Manuel Tom Bihr. Hanya pengambil sepakan kedua, Nattawut Suksum tidak berjaya. Di pihak Selangor pula, penjaring gol penalti adalah Ifedayo dan Sean Selvaraj.

Kredit Foto: True Bangkok United

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram