SAC 2020: Satiananthan Puas Hati Dengan Komitmen Pemain

Kemenangan 3-0 ke atas Persib Bandung dalam perlawanan pertama kejohanan Selangor Asia Challenge 2020 sudah tentu melonjakkan motivasi skuad Selangor yang kini sedang melalui tempoh ‘transformasi’ ke arah mengembalikan kegemilangan pasukan berkenaan.

Mengikut format pertandingan, tiga gol pada separuh masa pertama hasil jaringan ketua pasukan, Taylor Reegan, Sandro Da Silva dan Syahmi Safari menjadikan Selangor kini mengumpul enam mata. Kedudukan pasukan tersebut kini terikat dengan True Bangkok United yang turut mencatat keputusan sama ketika menentang Hanoi FC.

Ketua Jurulatih Selangor, B. Satiananthan memuji persembahan anak buahnya yang mempamerkan aksi yang baik sekalipun dalam cuaca hujan lebat. Ianya merupakan perlawanan pertama Selangor yang diadakan secara ‘terbuka’ sepanjang persediaan pra-musim pada tahun ini.

“Ini adalah perlawanan yang saya rasa kami berhak untuk menang, kerana saya tahu, Persib [Bandung] tidak bersedia sepenuhnya. Tetapi yang lebih penting, pemain saya, meraka bermain dengan baik pada hari ini,” Ujar Satiananthan dalam sidang media selepas perlawanan.

“Corak permainan mereka bagus dan mencipta banyak peluang. Tetapi satu-satunya perkara yang saya tidak gembira adalah kerana bola tidak bergerak dengan laju kerana permukaan padang yang basah [disebabkan hujan].

“Saya gembira dengan persembahan pemain terutamanya dengan kecergasan mereka. Intensiti dalam lima belas minit pertama memang bagus. Begitu juga apabila pemain simpanan masuk, mereka berjaya memberi tekanan kepada lawan dengan baik.”

Dalam pada itu, beliau turut mengulas mengenai ketiadaan pemain sayap lincah, Mohd Kyhril Muhymeen Zambri dalam senarai pasukan. Menurutnya, pemain tersebut kini masih direhatkan dan belum cergas sepenuhnya untuk turun beraksi.

“Dia boleh bermain dan dia boleh berlatih, tetapi untuk beraksi [dalam perlawanan], dia masih belum bersedia. Saya ada ramai pemain muda, jadi kami perlu berhati-hati.

Kredit Foto: Red Giant TV

“Saya tidak mahu memaksa pemain untuk beraksi. Kami ada staf perubatan dan fisioterapi, jika mereka maklumkan pemain itu belum cergas 100 peratus, maka dengan kepakaran mereka, saya percaya dengan apa yang mereka katakan,” katanya lagi.

Selangor akan berdepan True Bangkok United dalam perlawanan kedua pada jam 8.00 malam ini bagi membuat perhitungan untuk menentukan juara SAC yang dianjurkan buat kali pertama pada tahun ini.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram