SAC 2020: Persib Bandung Atasi Hanoi FC 2-0, Perlawanan Ditamatkan Awal Kerana Cuaca Buruk

Perlawanan hari kedua Selangor Asia Challenge (SAC) 2020 menyaksikan wakil Indonesia, Persib Bandung berjaya menumbangkan kelab Vietnam, Hanoi FC dengan keputusan 2-0 di Stadium Shah Alam.

Kedua-dua pasukan ternyata terdesak untuk mencari kemenangan selepas masing-masing tewas kepada True Bangkok United dan Selangor dengan keputusan 3-0 dalam perlawanan pertama pada Sabtu. Permainan dimulakan dalam keadaan cuaca yang baik.

Persib Bandung ternyata lebih garang pada awal permainan dengan seawal minit kedua Wander Luiz mendapat peluang untuk menyudahkan bola muntah selepas penjaga gol menepis percubaan jarak dekat Gian Zola di hadapan gol, namun pertahanan Hanoi lebih bersedia.

Pada minit ke-10 kelihatan bola seperti terkena tangan Le Van Xuan dalam kotak penalti tetapi pengadil tidak memberikan sepakan penalti dan sekadar meneruskan permainan. Ianya telah menimbulkan kemarahan ratusan penyokong Pesib yang menonton di stadium,

Persib Bandung yang dilihat lebih banyak mendominasi permainan dan akhirnya terlebih dahulu di depan pada minit ke-19 hasil gerakan berpasukan sebelum Puja Abdullah membuat penyudah dari sebelah kiri. Penjaga gol Hanoi, Pham Thanh Luong dapat membuat tampanan tetapi tidak dapat menghalang bola bergolek masuk ke dalam gawangnya.

Tersentak dengan gol pertama, Hanoi FC memperkemaskan corak permainannya dan berjaya mengatur beberapa gerakan ke kubu lawan. Namun Persib juga berupaya mengatur beberapa serangan balas berbahaya.

Beni Oktovianto kemudian menjaringkan gol kedua Persib pada minit ke-39 menerusi penyudah cantik dengan melepaskan rembatan lencong menggunakan kaki kiri menuju tepat ke penjuru kanan gawang Hanoi selepas menerima hantaran jauh dari tengah oleh Abdul Aziz.

Semasa rehat separuh masa, hujan lebat di stadium telah menyebabkan babak kedua terpaksa ditangguhkan. Namun selepas satu jam menunggu, akhirnya penganjur dan pengadil terpaksa mengumumkan perlawanan ditamatkan dan mengekalkan kedudukan 2-0 sebagai keputusan akhir.

Keputusan ini bermakna skuad kendalian Robert Alberts itu menamatkan kejohanan SAC 2020 di tempat ketiga dengan mengumpul lima mata sementara Hanoi FC di tempat tercorot tanpa sebarang mata.

Kredit Foto: Persib Bandung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram