Sabah Uji Kekuatan Di Filipina

Sabah Liga Super 2020 Latihan

Sabah akan menjalani Jelajah Pra-Musim di Filipina sebagai persediaan untuk menghadapi saingan baharu di Liga Super 2020. Kembali ke pentas tertinggi bola sepak negara sejak 2012, Sabah sudah pasti tidak mahu bergelar pasukan belasahan.

Sabah sudah melengkapkan senarai pemain import mereka selepas menerima masuk dua pemain iaitu Dennis Buschening dan Hector Omar Ramos untuk menyertai pemain yang dikekalkan iaitu Rodoljub Paunovic serta Park Tae-su.

Dennis Buschening merupakan bekas pemain Buriram United dan BEC Tero Sasana di Thai League sementara Hector Omar Ramos pula pernah menyarung jersi Sabah pada musim 2018, malah merupakan penjaring terbanyak mereka.

Mereka juga telah mengimport tenaga pelatih dari Indonesia sebagai ketua jurulatih iaitu, Kurniawan Dwi Yulianto untuk mengambil alih tugasan Jelius Ating yang hanya akan bertindak sebagai pembantu jurulatih pada musim ini.

Untuk pemain tempatan pula, skuad Tambadau telah membawa masuk dua tonggak berpengalaman iaitu penjaga gol, Wan Azraie Wan Teh dan juga pertahanan kiri, Zubir Azmi bagi mengukuhkan pasukan baharu Sabah.

Sabah akan bertemu dua pasukan ketika berkunjung ke Filipina iaitu akan menentang naib juara Philippines Football League 2019, Kaya FC pada 21 Januari dan dua hari kemudian akan menentang Stallion Laguna FC.

Bercakap kepada Harian Express, pengurus pasukan, Henry Saimpon menjelaskan jelajah ini akan memberikan mereka lebih persediaan kerana kedua-dua pasukan tersebut adalah yang terkuat di Filipina selain Ceres Negros.

“Ia akan menjadi ujian besar pertama untuk pasukan sebelum permulaan musim.,” ujar Henry Saimpon pada Isnin lalu.

“Dua pasukan itu mempunyai banyak pemain import jadi saya percaya perlawanan itu akan memberikan idea tambahan kepada jurulatih mengenai bagaimana memperkuatkan pasukan ketika kita bersiap menghadapi cabaran musim ini,” jelasnya.

Sabah akan memulakan kempen Liga Super 2020 dengan bertemu pasukan yang kini dibelenggu masalah pembayaran gaji musim 2019, PDRM pada 1 Mac depan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Kredit Foto: Sabah FA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram