Saad Ichalelene Bakal Pengarah Teknikal FAM Yang Baharu?

Saad Ichalelene NFDP FAM

Bekas Ketua Jurulatih Akademi Paris Saint-Germain (PSG), Saad Ichachelene dikatakan menjadi calon utama untuk mengisi jawatan Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi menggantikan Datuk Ong Kim Swee yang meletakkan jawatan tempoh hari.

Saad merupakan Pengarah Teknikal Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) sejak Disember 2019. Menurut sumber, namanya disebut-sebut menjadi calon utama untuk jawatan itu berdasarkan pengalamannya di negara ini sejak 2016.

Tempoh lima tahun di sini pastinya sudah cukup untuk beliau memahami asam garam serta senario bola sepak Malaysia dan beliau juga difahamkan mempunyai hubungan yang baik dengan FAM.

Saad memulakan tugasnya dalam NFDP selaku Ketua Pencari Bakat dan Metadologi pada 2016 hingga 2018.

Justeru itu, sumbangannya dalam menanam DNA dan corak permainan moden di peringkat akar umbi diharapkan dapat diterapkan pula di tahap yang lebih tinggi sekiranya dipilih sebagai pengarah teknikal FAM yang baharu.

Keserasiannya dengan Pengarah Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD), Dennis Bekking pastinya menjadikan pembangunan bola sepak di Malaysia semakin tersusun dan teratur.

Beliau juga mempunyai hubungan yang baik dengan semua pemegang taruh pembangunan bola sepak di negara ini seperti Kementerian Beliau dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN) dan Kementerian Pelajaran Malaysia (MSN).

Karier Saad sebagai pemain profesional tidaklah begitu mengagumkan kerana bersara awal selepas beraksi untuk PSG, Nimes Olympique dan USM Alger. Beliau juga pernah mewakili skuad kebangsaan Algeria pada tahun 2005 dan 2006.

Namun fakta yang lebih menarik adalah rekodnya yang pernah mengasah bakat-bakat yang kini merupakan pemain ternama dunia sepeti Alphonse Areola, Adrien Rabiot, Presnel Kimpembe, Dan-Axel Zagadou dan Matteo Guendouzi ketika bertugas sebagai Ketua Jurulatih Akademi PSG pada 2012 hingga 2016.

Kemudian kita juga sudah menyaksikan produk AMD hasil kerjasama Saad bersama bekas Pengarah AMD, Lim Teong Kim telah pun mencipta nama di luar negara seperti Luqman Hakim Shamsudin yang kini bersama kelab Belgium, KV Kortrijk.

Beberapa pemain lain juga kini sudah mula mewarnai pentas bola sepak Malaysia seperti Harith Haiqal, Zikri Khalili, Sikh Izhan Nazrel, Faiz Amirunnizar (Selangor) Umar Hakeem (Johor Darul Ta’zim) dan Azhad Harraz (Skuad Projek FAM-MSN).

Terdapat juga pelatih AMD yang pernah dijemput untuk mewakili skuad utama PSG bawah 13 tahun (B-13) seperti Haykal Danish, Rohisham Haikal dan Hazriq Haqqim, manakala Adam Farhan pula pernah menjalani ujian bersama kelab Belanda, AZ Alkmaar.

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply