Rusia 2018: Rurik Gislason, Ahli Politik Iceland Beraksi Sebagai Sayap Kanan

Kebiasaannya, mana-mana pemain bola sepak akan menyertai parti politik selepas era di atas padang. Ada menjadi ahli parti politik sehingga menjadi pemimpin parti atau negara.

Ini sudah menjadi kebiasaan di mana-mana negara. Hatta di Afrika, Asia atau Eropah. Kisah ini mungkin ramai kurang sedar tetapi itulah berlaku sebelum Piala Dunia 2018.

Rurik Gislason

Beliau kini mewakili Iceland dalam kancah Piala Dunia. Dalam aksi domestik, beliau beraksi di SV Sandhausen, kelab divisyen dua Jerman.

Rurik sebenarnya pemain tengah dan pernah beraksi seketika bersama Nurnberg (Jerman) dan Copenhagen (Denmark). Beliau pernah berkelana sebentar di England bersama Charlton Athletic pada 2005.

Sayangnya, Charlton langsung tidak pernah menurunkan beliau.

‘Hot-stuff’

Semasa pertembungan Iceland menentang Argentina, pemain yang berusia 30 tahun ini telah diturunkan. Rurik menjadi tumpuan kerana berjaya membantu mengikat Argentina 1-1.

Rurik sebenarnya diturunkan pada minit ke-63 dalam perlawanan tersebut. Beliau menggantikan Jóhann Berg Guðmundsson.

Beliau juga beraksi sehingga tamat masa permainan pada perlawanan menentang Nigeria.

Kerana ketampanan beliau, bilangan pengikut Instagram Rurik meningkat naik. Pada asalnya, pengikut akaun tersebut cumalah kira-kira 30 ribu sahaja.

Tetapi, selepas dimasukkan dalam perlawanan tersebut, namanya menjadi carian di laman sosial tersebut. Hasilnya, beliau telah mengumpulkan lebih 200 ribu pengikut.

Kancah politik

Sebenarnya Rurik pernah dicalonkan dalam Pilihan Raya Umum Iceland pada Oktober tahun lalu. Beliau dicalonkan oleh Parti Kemerdekaan yang berhaluan kanan-tengah.

Rurik dicalonkan bagi kerusi di Reykjavík South. Tetapi, beliau bukanlah calon utama partinya di kerusi tersebut.

Sebenarnya di Iceland, sesebuah parti boleh meletakkan lebih daripada seorang calon bagi sesebuah kerusi. Dan nama Rurik telah diletakkan di bawah sekali dalam kertas undi bagi mewakili Parti Kemerdekaan.

Rurik sebenarnya dicalonkan parti itu untuk menarik undi penyokong parti tersebut. Namun begitu, Rurik tidak memenangi hati pengundi di kawasannya.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram