Quantcast

BERITA

Rupa-Rupanya Malaysia Ada Penjaga Gol Yang Beraksi Di Liga Hong Kong

Laporan akhbar tempatan, Berita Harian semalam mendedahkan anak kepada bekas penjaga gol skuad Olimpik negara 1972, Wong Kam Fook iaitu Wong Tse Yang kini beraksi di liga utama Hong Kong, HKSL BC Rangers.

Apa yang menariknya ialah Tse Yang memiliki ketinggian 189 sentimeter hampir sama dengan beberapa penjaga gol ternama dunia seperti David de Gea dan Ederson.

Kam Fook turut memberitahu anaknya ingin berkelana bermain di Liga Malaysia selepas mengikuti rapat perkembangan bola sepak Malaysia.

“Biarpun keluarga saya kini menetap di Hong Kong, kami anak beranak sentiasa mengikuti rapat perkembangan bola sepak Harimau Malaya dan Liga-M,” katanya.

Aksi Tse Yang dalam saingan Liga Hong Kong berdepan pasukan Kitchee FC. FOTO: HK Rangers

Kam Fook merupakan antara pemain Malaysia terawal yang beraksi di luar negara dari tahun 1972 hingga 1984. Beliau meninggalkan tanah air ketika kepakarannya sebagai antara penjaga gol terbaik sezaman Chow Chee Keong, Wong Hee Kok dan Lim Fung Kee benar-benar ditagih.

Demi memburu kehidupan lebih terjamin, dia meletak jawatan di Kinta Electrical Distribution (KED), anak syarikat Perak Hydro, bagi menjadi seorang professional yang menyarung jersi kelab seperti Seiko, Rangers, South China dan Caroline Hill dari tahun 1972 hingga 1984.

Kembalinya Kam Fook ke tanah air pada tahun 2011 demi menyalakan satu impian. Anaknya Tse Yang, 19 tahun, sedang digilap untuk mengikut jejak langkahnya.

Tse Yang dilatih oleh ayahnya, Wong Kam Fook sejak berusia 19 tahun. FOTO: HK Rangers

“Walaupun dia (Tse Yang) lahir di China, memang hasratnya untuk menabur bakti buat pasukan Harimau Malaya dan mengikut jejak saya ketika membantu Malaysia beraksi di Sukan Olimpik.

“Ketika dia berusia 19 tahun pada 2011 lalu, saya pernah membawanya pulang dan bermain untuk pasukan Perak China dalam pertandingan Piala FA China. Tetapi pada masa itu tiada pasukan yang nampak bakatnya.

“Selepas itu kami balik ke Hong Kong dan saya memutuskan untuk melatihnya sendiri. Sekarang permainannya semakin matang dan dia banyak mendapat tawaran di sini (Hong Kong).

“Namun disebabkan rasa ingin mencuba suasana baharu dengan melebarkan sayap ke liga luar, dia mahu mencuba nasib di Malaysia. Kalau ada peluang, sudah tentu saya mahu melihat dia bermain untuk skuad kebangsaan,” jelasnya.