Rumah Ed Woodward Diserang

Rumah milik Naib Pengerusi Eksekutif Manchester United, Ed Woodward telah diserang oleh sekumpulan individu berpenutup kepala yang dipercayai penyokong Manchester United tidak senang dengan prestasi semasa kelab.

Dalam satu video yang dimuat naik dalam media sosial, penyerang-penyerang tersebut bertindak membaling suar merah ke dalam perkarangan rumah Woodward dari depan pintu pagar utama sambil menyanyikan lagu “going to die”.

Woodward yang sudah berkahwin dan mempunyai dua orang anak dipercayai tiada di rumah ketika kejadian berlaku.

“Sesiapa sahaja yang didapati bersalah akan digantung seumur hidup oleh pihak kelab dan berdepan dengan hukuman,” ujar Manchester United dalam kenyataan rasmi kelab tersebut.

“Penyokong memberikan pendapatnya adalah satu perkara, tetapi jenayah merosakkan harta benda dan membahayakan nyawa adalah perkara yang lain. Perkara seperti ini tidak boleh dimaafkan.

“Kami tahu seluruh dunia bola sepak akan bersatu di belakang ini dan kami akan bekerjasama dengan pihak Greater Manchester Police untuk mengenal pasti dalang di sebalik serangan tidak bertamadun ini.”

Sejak akhir-akhir ini, Woodward terus menjadi subjek serangan penyokong sama ada ketika perlawanan di stadium mahupun di dalam media sosial.

Manchester United ketika ini hanya menduduki tangga kelima dengan ketinggalan 33 mata di belakang pendahulu liga, Liverpool dan kebanyakan penyokong menyalahkan Woodward di atas prestasi buruk yang sedang melanda pasukan.

Semasa perlawanan di Old Trafford menentang Burnley dan perlawanan Piala FA berdepan Tranmere, penyokong United menyanyikan lagu-lagu yang mengutuk Woodward serta pemilik kelab, keluarga Glazer dan meminta mereka berambus.

Kredit Foto: Football Tweet

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram