‘Rumah’ Baharu Untuk Skuad Futsal Pulau Pinang?

Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
Share on whatsapp
Share on email
Kompleks Sukan Balik Pulau Futsal Pulau Pinang 2020

Pengurusan skuad futsal Pulau Pinang sedang gigih mencari tajaan untuk membantu menampung segala perbelanjaan pasukan untuk saingan di Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) musim 2020 nanti.

Selepas menerima tajaan daripada syarikat swasta iaitu Al-Haddad Marketing Sdn Bhd, kini mereka dalam usaha memeterai tajaan untuk membolehkan mereka beraksi di Kompleks Sukan Balik Pulau.

Seperti yang pernah diketengahkan oleh Semuanya BOLA pada musim lalu, Kompleks Sukan Azman Hashim USM agak bermasalah untuk menampung kebanjiran penyokong untuk satu-satu perlawanan.

Kompleks tersebut hanya mampu menampung sehingga 300 penonton sahaja pada satu-satu masa dan ketika aksi menentang Kuala Lumpur, statistik menunjukkan penyokong yang hadir adalah 500 orang.

Kompleks Sukan Balik Pulau sebelum ini tidak dapat digunakan selepas tidak diluluskan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) atas faktor permukaan gelanggang yang menggunakan ‘hardsurface’.

Oleh itu, pengurusan futsal Pulau Pinang sedang mengadakan perbincangan bersama beberapa pihak dan syarikat untuk tujuan penajaan ‘interlock flooring’ bagi membolehkan kompleks tersebut digunakan.

Pemilihan jenis permukaan gelanggang seperti itu adalah bagi memudahkan proses pemasangan dan nyahpasang serta ianya mudah untuk dikendalikan oleh pihak pengurusan pasukan nanti.

Menurut Pegawai Tadbir Pengurusan Skuad Futsal Pulau Pinang, Mohd Shaiful Salleh, penajaan untuk menjadikan ‘interlock flooring’ itu satu realiti akan menelan belanja sekitar RM50 ribu hingga RM100 ribu.

“Pegawai FAM telah hadir untuk membuat lawatan dan pemeriksaan di kedua-dua kompleks sukan pada 3 Februari lalu dan Kompleks Sukan Azman Hashim USM dilihat masih boleh digunakan seperti musim lalu walaupun tiada penambahbaikkan yang telah dibuat dari segi kemudahan-kemudahan yang ada.

“Sementara Kompleks Sukan Balik Pulau pula lebih baik dari segi kemudahan-kemudahan yang ada. Tempat duduk penonton juga lebih selesa ditambah dengan bilik media dan akses tersusun,” jelasnya.

“Bagi urusan kegunaan kompleks tersebut dimana ianya adalah milik Majlis Bandaraya Pulau Pinang [MBPP] , pengurusan pasukan telah berbincang dengan Pengarah MBPP dan mendapat respon yang sangat baik tentang penggunaan kompleks tersebut,” jelasnya mengenai penggunaan kompleks itu.

“Dan ianya dalam proses perbincangan kadar sewaan sepanjang liga MPFL berlangsung,” tambahnya lagi sambil menegaskan mahu memberi keselesaan kepada para penyokong dan media yang hadir nanti.

KREDIT FOTO: FA Penang