Roy Keane, No.16 Terbaik Dan Kapten Legenda Manchester United

Dek kerana kelantangannya sebagai pundit, ramai generasi hari ini mempersoalkan, hebat sangatkah Roy Keane ini dahulu?

Aduh! Itu soalan hilang akal terutama sekali jika kamu penyokong Manchester United yang marah hanya kerana Keane mengkritik pemain-pemain muda United Hari ini.

Jika anda pergi ke bandar Manchester dan bertanya, siapakah kapten terbaik di dalam sejarah Manchester United? Nama Roy Keane antara yang paling kerap anda dengar selain daripada Bryan Robson.

Roy Keane adalah simbol pejuang tidak kenal erti ‘mati’ di dalam padang. Pemain yang ada karakter kepimpinan yang kuat dan digeruni oleh pemain lawan dan rakan sepasukan.

Roy Keane adalah watak penting ketika Manchester United menentang Juventus dalam UCL 1999 di Turin. Skuad United menang ke atas pasukan serba bintang Juventus.

Watak Roy Keane pada hari itu memang luar biasa. Tiada siapa yang mampu mengatasi beliau di tengah. Kerana komitmennya yang tinggi melindungi barisan pertahanan, Keano dilayangkan kad kuning dalam perlawanan itu.

Sebab itulah beliau terlepas malam final di Barcelona. Jika tiada Keane, final 1999 dan kebangkitan bersejarah United ke atas Bayern Munich tidak akan pernah tertulis dalam sejarah kelab dan juga UCL.

Budak pemunggah barang menjadi kapten Manchester United

Keane pernah menceritakan kisah beliau yang ditolak oleh banyak akademi bola sepak kerana dianggap tidak sesuai bermain bola sepak. Dia terlalu kurus untuk bola sepak.

Apa yang Keane lakukan? Adakah dia pergi mengadu dan merengek kepada orang di sekeliling dia bahawa dia didiskriminasi?

Tidak, Keane bertekad untuk membangunkan kondisi fizikal beliau. Untuk pergi ke gym ia agak mahal untuk ditanggung oleh dia dan keluarganya.

Keane pergi meminta kerja di sebuah bar dan menjadi budak pemunggah barang. Di situ dia berjaya menjadikan badannya lebih keras.

Selepas itu, Keane diterima oleh kelab Cobh Ramblers. Kerana aksi keras dan bertenaga Keane di dalam padang, pengurus lagenda Brian Clough kemudiannya membawanya ke Nottingham Forest ketika berusia 18 tahun.

Bakat terus berkembang

Clough melihat karakter yang kuat dalam diri Keane. Dia memang pemain yang sukar dikawal. Jenis yang hati ‘kering’. Dia tidak tunduk kepada mana-mana pemain senior. Bagi sesetengah orang, karakter itu negatif.

Bagi Clough, dia mahukan karakter itu digunakan dengan sebetulnya di dalam padang.

Keane terus menjadi pemain utama dalam skuad Nottingham Forest dan melakukan debut dalam perlawanan menentang Liverpool pada tahun 1990.

Keane membantu Forest mara ke final Piala FA. Namun mereka tewas di tangan Manchester United pada perlawanan akhir.

Inilah perlawanan yang membuatkan Alex Ferguson tertarik dengan Roy Keane. Ferguson suka akan karakter Keane yang berani melakukan bentesan. Bentesan yang Keane lakukan adalah berkualiti.

Sir Alex Ferguson mahu mencari pengganti kepada Bryan Robson yang sudah menghampiri persaraannya. Lalu beliau tahu, Keane punyai ciri yang Manchester United perlukan.

Namun usaha itu bukan mudah kerana Manchester United mahu melamar pemain dari pasukan seteru Nottingham Forest. Pada musim 1992/93 Nottingham Forest tersingkir ke Championship.

Impian kanak-kanak menjadi kenyataan

Pengurus Blackburn Rovers ketika itu, Kenny Daglish terus memulakan usaha untuk mendapatkan Keane. Di saat Keane sudah hampir pasti menyertai Rovers, Keane menerima satu panggilan yang mahukan khidmat beliau.

Itulah panggilan dari Sir Alex Ferguson. Keane terus menerima tawaran Sir Alex. Kenapa? Kerana Keane sekeluarga adalah peminat Manchester United.

Pada 19 Julai, 1993 United memecahkan rekod perpindahan Inggeris membeli Keane dengan nilai perpindahan £3.75 juta dari Forest. Keane menganggap ini adalah permulaan untuk beliau memenuhi impian kanak-kanak beliau.

Foto: Man. Utd Official

Alex Ferguson bercakap dengan Keane ketika itu. Keane menceritakan:

“Saya sudah menghantar banyak surat ke kelab Inggeris untuk menyertai mereka. Namun semuanya ditolak.”

Alex Ferguson pun bertanya: “Adakah ia termasuk Manchester United?”

Roy Keane: “Tidak”

Mujurlah Keane tidak pernah menghantar surat permohonan ke Old Trafford kerana Alex Ferguson mahu tahu siapakah pegawai pemantau bakat beliau yang menolak permohonan itu.

Anda semua faham-fahamlah, kalau Sir Alex mengamuk, silap-silap ada benda terbang.

Keane memberitahu Sir Alex, beliau tidak memohon ke United kerana tahu permohonan beliau akan ditolak oleh kelab sebesar itu.

Menjadi kapten United

Pada musim 1997/98 ia adalah musim mencabar untuk Keane. Cantona membuat keputusan bersara mengejut. Ini bermakna United perlukan kapten baru.

PKT5058-371368
ALEX FERGUSON
Alex Ferguson, Manchester United football manager, pictured with Roy Keane and Eric Cantona.

Tidak disangka-sangka, Fergie datang kepada beliau dan menyerahkan lilitan kapten kepada beliau. Ini kerana Ferguson percaya Keane adalah pemain yang paling tepat berdasarkan karakter dan sikapnya yang semakin keras berusaha dalam keadaan tertekan.

Namun begitu, baru beberapa perlawanan liga bermula, Keane tecedera di bahagian lutut dalam perlawanan menentang Leeds United. Keane berehat untuk satu musim.

Keane menceritakan marah beliau kepada pemain Leeds ketika itu termasuk penyokong Leeds yang menjerit ‘penipu, penipu!’ ketika Keane terbaring di atas padang.

Treble

Pada musim 1998/99, Roy Keane akhirnya sembuh. Inilah musim terbaik dalam karier beliau. Keane menjadi kapten yang mengemudi United kepada kejuaraan “treble” 1998/99.

Musim 1999/2000 Roy Keane dipilih sebagai ‘PFA Player of the Year’ dan pemenang ‘Fooball Writers Player of the Year’.

Oleh kerana kecemerlangan beliau. Keane menjadi perhatian banyak kelab besar. United terus mengambil langkah menawarkan kontrak mewah. Beliau menjadi pemain pertama di EPL yang merasai gaji £52,000 seminggu.

Agak menarik apabila Roy Keane menceritakan ada 3 kelab menawarkan beliau kontrak sekitar £100,000 seminggu iaitu Inter Milan, Lazio, dan Bayern Munich.

Namun kesetiaan Keane kepada United tidak berbelah bagi. Beliau kekal di Old Trafford.

Kontroversi

Di arena antarabangsa, Keane membantu negaranya Ireland mara ke Piala Dunia 2002 Jepun – Korea Utara. Namun konflik dengan pengurus pasukan, Mick McCarthy membuatkan beliau disisihkan.

Keane dituduh berpura-pura cedera untuk mengelakkan beberapa tugasa kebangsaan. Keane membuat keputusan untuk menarik diri dari skuad Piala Dunia 2002.

Mick McCarthy memberitahu media, beliau masih membuka pintu kepada Keane untuk kembali dengan syarat meminta maaf.

Roy Keane tidak mahu berbuat demikian dan beliau tidak pernah menyarung jersi Ireland lagi selepas itu serta mengumumkan persaraan dari arena antarabangsa.

Musim 2005/06 merupakan musim terakhir Roy Keane bersama Manchester United. Keane kerap mengkritik dan memarahi pemain-pemain generasi baru United yang dianggap beliau tidak ada mentaliti ‘United’.

Ia kemudian menjadi semakin panas apabila Keane secara terbuka mengkritik beberapa pemain United sebagai tidak layak menyarung jersi United. Ini selepas United dimalukan Middlesbrough 4-1.

Keane menuduh pemain-pemain tersebut tiada kesungguhan dan tidak betul-betul berjuang di dalam padang.

Sir Alex Ferguson agak kecewa dengan tindakan Keane kerana menggunakan media arus perdana untuk mengkritik rakan sepasukan beliau sendiri.

Keane pula bertegas, mengkritik di antara satu sama lain adalah perkara biasa di dalam bola sepak.

Sir Alex memberikan amaran kepada Keane. Namun Roy Keane tidak mampu menerima teguran Sir Alex itu. Hubungan mereka semakin dingin dan akhirnya Keane dijual ke Celtic pada pertengahan musim 2005/06.

Tidak lama kemudian beliau mengumumkan akan bersara pada akhir musim tersebut.

Selepas bersara Keane terus terlibat dalam pengurusan. Paling menarik pada 2006/07 Keane dilantik menjadi pengurus Sunderland menggantikan Mick McCarthy yang dipecat.

Antara yang terbaik sepanjang zaman

Walaupun Sir Alex Ferguson pernah bertelagah dengan Keane, namun beliau tidak pernah menafikan akan status Keane sebagai kapten terbaik beliau.

Keane dianggap lagenda no.16 terbaik di dalam sejarah Manchester United. Namun pada hari ini, kedua-dua figura ini kerap sindir menyindir.

Keane berkata:

“Saya terserempak dengan dia (Sir Alex) dengan isteri dan anaknya, saya berkata Ah! biarkanlah.”

“Ya, saya tidak sehaluan dengan Sir Alex, namun saya tidak akan pernah mahu menggantikan detik 12 tahun karier saya bekerja dengan dia (Sir Alex) dengan apa sahaja di dunia ini. Ia detik terindah.”

Tidak lupa juga permusuhan beliau dengan Vieira pastinya segar di dalam ingatan kita semua. Apapun Keane tetap legenda yang selayaknya diletakkan sebaris dengan pemain terbaik sepanjang zaman di Eropah.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram