Ronaldo Turut Tinggalkan Perak Untuk Sertai Kelab Brazil

Ronaldo, Perak, PJ City

Tidak berapa lama selepas Brendan Gan mengumumkan dirinya sah meninggalkan pasukan Perak, penyerang import, Ronaldo Henrique Silva turut mengambil langkah yang sama.

Tatkala Brendan dijangka akan menyertai salah sebuah pasukan di Liga Malaysia, Ronaldo pula telah mengambil keputusan untuk kembali ke negara asalnya Brazil, untuk mengikat kontrak dengan salah sebuah kelab di sana.

Perkara itu disahkan oleh penyarung jersi No.9 itu melalui hantaran di Instagram semalam.

“Terima kasih Tuhan untuk waktu yang indah ini. Kita jumpa lagi Malaysia. Tiba masanya untuk saya kembali,” ujar beliau.

“Kepada mereka yang sentiasa memberikan sokongan, terima kasih saya ucapkan!

“Saya mengakhiri musim ini dengan 21 penampilan dan 12 gol.”

Melalui laporan oleh Berita Harian pada hari ini, pemain itu turut mengesahkan akan bersama salah sebuah kelab di Brazil selepas ini.

Ronaldo adalah salah seorang pemain yang dibawa masuk oleh Persatuan Bola Sepak Perak, bersama-sama Raianderson Da Costa Morais pada jendela perpindahan kedua Liga Malaysia pada Mei lalu.

Kedua-dua pemain tiba untuk menggantikan Gilmar Jose Da Silva Filho dan Wander Luiz.

Ronaldo pantas memberikan impak kepada pasukan di dalam saingan Piala FA, namun kurang menyerlah sepanjang kempen Piala Malaysia yang lalu.

Perak sebelum ini telah kehilangan Mohamad Nasir Basharudin dan Mohd Nor Hakim Hassan, menjadikan empat pemain sudah angkat kaki dari skuad Perak pada musim lalu.

Kredit Foto: MFL

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram