Ronaldo Tidak Faham Kenapa Juventus Pertikaikan Keputusan Pengadil Menghadiahkan Sepakan Penalti

Jaringan penalti Cristiano Ronaldo di minit akhir telah memusnahkan impian Juventus untuk mara ke peringkat separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah awal pagi tadi.

Namun begitu, berlaku sedikit kontroversi apabila para pemain Juventus mempertikaikan keputusan pengadil menghadiahkan sepakan penalti itu.

Ronaldo menegaskan Juventus tidak sepatutnya mempertikai sepakan penalti dramatik pada minit akhir permainan yang disempurnakan sendiri olehnya untuk membawa Real Madrid ke separuh akhir Liga Juara-Juara.

Ronaldo berjaya mengawal perasaan gementar di Santiago Bernabeu untuk meledak gol tunggal Real dan mara dengan kelebihan agregat 4-3.

Juve melakukan kebangkitan menakjubkan apabila mendahului 3-0 pada pertembungan suku akhir kedua, awal pagi tadi selepas Mario Mandzukic meledak dua gol pada babak pertama sebelum Blaise Matuidi memanfaatkan kesilapan penjaga gawang Real, Keylor Navas untuk menghidupkan peluang kelab Itali itu.

Bagaimanapun, pengadil dari England Michael Oliver menghadiahkan sepakan penalti kepada Real pada minit ke-98 (masa kecederaan) selepas Mehdi Benatia menghalang Lucas Vazquez daripada melakukan percubaan jarak dekat dengan satu sentuhan dari belakang.

Gianluigi Buffon, yang mungkin tampil buat kali terakhir dalam Liga Juara-Juara sebelum bersara dibuang padang kerana melakukan bantahan, namun Ronaldo tetap tenang untuk menewaskan penjaga gol gantian, Wojciech Szczesny.

“Saya tidak faham kenapa mereka membantah sepakan penalti itu,” kata Ronaldo kepada beIN Sports selepas perlawanan.

“Jika tidak melakukan kekasaran, Lucas pasti akan menjaringkan gol. Ketika permainan, Benatia dan beberapa pemain lain mengasari kami dari belakang. Tapi kami gembira dan kami sekarang di separuh akhir.”

Jaringan Ronaldo menyaksikan Real tewas 1-3, namun tetap mara dengan agregat 4-3, sekali gus kini selangkah untuk merangkul kejuaraan Eropah buat ketiga berturut-turut, dan keempat dalam tempoh lima tahun.

Mereka akan bersama Liverpool, Bayern Munich dan Roma yang melakar kejutan ke atas Barcelona untuk mara ke pusingan separuh akhir.

“Ia adalah permainan yang sangat panjang dan menjadi pengajaran bahawa tiada jaminan dalam bola sepak dan kami harus berjuang hingga akhir,” kata Ronaldo.

“Langkah demi langkah, kini kami ke separuh akhir.”

Sementara itu,presiden Juventus, Andrea Agnelli berharap teknologi Video Bantuan Pengadil (VAR) dapat digunakan di Liga Juara-Juara selepas pasukannya disingkirkan Real Madrid menerusi jaringan penalti kontroversi pada minit akhir.

“Pegawai garisan gol di bahagian tepi tidak sama seperti ulang tayang video,” katanya.

“Jika UEFA (Kesatuan Bolasepak Eropah) belum bersedia, mereka perlu memberikan latihan secepat mungkin, hanya digunakan dalam Serie A, selain Jerman, Portugal dan beberapa liga lain.

“Ia bukan mengenai satu atau dua insiden, tetapi untuk masa depan dalam kejohanan besar yang berprestij. Kita tidak boleh membenarkan insiden ini berlaku.”

Kekurangan penggunaan teknologi dalam Liga Juara-Juara juga menjadi tumpuan ketika Manchester City tewas 2-1 kepada Liverpool, semalam apabila jaringan Leroy Sane dibatalkan kerana ofsaid.

“Pemain membuat kesilapan, begitu juga dengan pengadil, tetapi dia hilang kawalan terhadap situasi ini,” tambah Agnelli.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN