Ronaldo “Senyap-Senyap” Hantar Kereta Mewah Ke Lisbon, Petanda Bakal Tinggalkan Juventus?

Khabar angin Cristiano Ronaldo akan meninggalkan Juventus selepas tamat saingan pada musim ini kembali bertiup kencang selepas tularnya video di media sosial, beberapa lelaki bekerja lewat tengah malam memindahkan kereta mewah pemain itu dari kediamannya di Turin pada Isnin lalu.

Media Itali, Tuttosport dan Per Sempre Calcio antara yang berkongsi klip video pemindahan tersebut di atas talian.

Klip video tersebut memaparkan bagaimana beberapa orang lelaki dipercayai mekanik dan pekerja pemindahan memindahkan koleksi kereta mewah milik bintang Portugal itu ke dalam kenderaan kargo dimiliki Rodo Cargo. Semakan turut mendapati syarikat tersebut terkenal sebagai sebuah syarikat pemindahan yang berpengkalan di Turin.

Kejadian pemindahan kereta mewah milik pemain itu pantas mencetuskan spekulasi Ronaldo bakal kembali menyertai kelab asalnya, Sporting Lisbon di Portugal.

Lisbon kini masih segar dari kejayaan meraih kejuaraan Liga Portugal, iaitu kejuaraan pertama yang diraih oleh kelab itu dalam tempoh 19 tahun.

Ibu kepada Ronaldo iaitu Dolares pernah berkata mahukan anaknya kembali ke Lisbon pada musim akan datang. Namun spekulasi tersebut pantas dinafikan oleh ejen beliau, Jorge Mendes.

Di sebalik penafian Mendes bahawa Ronaldo akan ke Lisbon pada musim hadapan, ini tidak bermakna pemain itu tidak akan meninggalkan Turin pada penghujung musim ini.

Pemain itu dikatakan telah dipulau oleh rakan sepasukan di Juventus yang bosan dengan layanan istimewa diberikan kepadanya oleh pengurusan kelab.

Bercakap kepada sebuah stesen radio, jiran kepada Ronaldo dikenali sebagai Luciano Saroglia berkata: “Mustahil mereka memindahkan kenderaan tersebut ke tempat lain di Turin.

“Kami melihat bagaimana beliau melakukannya. Ini adalah minggu terakhir musim ini, dan beliau memindahkan semua keretanya. Ronaldo adalah jiran yang biasa-biasa sahaja. Beliau tidak akan berparti dan melakukan perkara-perkara sedemikian.”

Masa depan Ronaldo mungkin akan bergantung kepada dua perlawanan terakhir pada musim ini. Atalanta yang bersaing untuk tempat ke Champions League bakal menanti merak di perlawanan akhir Coppa Italia pada Rabu.

Walaupun jika Ronaldo berjaya meraih trofi kelima sejak menyertai Juventus nanti, ia tetap tiada jaminan bahawa beliau akan kekal.

Juventus kini menduduki tangga ke-5 Serie A dengan 75 mata, dan perlu mengharapkan Atalanta, AC Milan dan Napoli tercicir mata di perlawanan terakhir liga pada Ahad hadapan.

Beraksi di saingan Europa League pada musim hadapan pasti bukan sesuatu yang menggambarkan Ronaldo. Ini menyebabkan pemenang Ballon d’Or itu turut dikaitkan dengan PSG dan bekas kelabnya, Manchester United.

 

Baca artikel menarik lain mengenai Cristiano Ronaldo:

5 Fakta Yang Menjadikan Cristiano Ronaldo Lebih Hebat Dari Messi

Kontroversi Gol Cristiano Ronaldo Menentang Serbia, Kenapa Tidak Guna VAR?

Mengimbau Hatrik Pertama Dan Satu-Satunya Cristiano Ronaldo Pernah Hasilkan Untuk Man Utd

 

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

One Comment

Leave a Reply