Romelu Lukaku Anggap Lautaro Martinez Pemain Yang Menakjubkan

Romelu Lukaku

Peledak utama Inter Milan, Romelu Lukaku memuji rakan sepasukan, Lautaro Martinez yang berjaya membentuk gandingan mantap bersamanya di jentera serangan pasukan tersebut dalam menghadapi musim 2019/20.

Duo penyerang ini telah berjaya menghasilkan 39 jaringan dalam semua kejohanan disertai kelab digelar sebagai I Nerazzurri itu yang menyaksikan Lukaku mencipta 23 gol dan Martinez dengan 16 jaringan.

Jumlah tersebut nyata menjadikan pasangan ini sebagai antara gandingan berbisa dalam kancah bola sepak Eropah pada ketika ini.

”Menakjubkan, dia [Lautaro Martinez] benar-benar ‘ganas’. Dia melakukannya dengan sangat baik dan sentiasa meningkat, saya menyayanginya,” ujar Lukaku memuji rakan sepasukannya itu.

Potensi hebat dimiliki pemain berusia 22 tahun kelahiran Bahia Branca, Argentina itu telah menarik minat Barcelona untuk mendapatkan khidmatnya bagi menggantikan Luis Suarez dan sudah ada yang memperkatakan beliau mampu bergandingan dengan baik bersama Lionel Messi.

Embed from Getty Images

Namun, Naib Presiden Inter Milan, Javier Zanetti percaya bahawa pemain muda itu akan terus kekal berada di bawah kendalian Antonio Conte selepas beliau tidak langsung menunjukkan tanda-tanda tidak gembira bersama kelab yang menghuni tangga ketiga Serie A itu.

Dalam pada itu menurut sumber Goal, Lukaku turut berkongsikan pengalamannya pernah beraksi di Itali dan England.

”Saya merasakan Seria A sangat baik. Intensiti dan kuasa permainan di Liga Perdana Inggeris menjadi kekuatan buat liga itu.”

”Tetapi secara taktikalnya di Itali, saya merasakan anda akan mendapat lebih ujian. Ia tidak mudah untuk menjaringkan gol seperti yang orang fikirkan, setiap perlawanan anda perlu untuk bersedia dan bermain dengan cara yang berbeza.”

”Kedua-dua liga sangat baik. Setiap liga akan ada kekuatannya yang tersendiri dan baik untuk saya dapat merasai pengalaman di liga berbeza. Saya sukakan kedua-duanya di Itali dan England, kedua-dua negara sangat mengalu-alukan kehadiran saya,” ujar Lukaku lagi.

Romelu Lukaku cemerlang pada musim sulungnya di Itali apabila meledakkan 17 jaringan dalam kempen liga untuk berada di tempat ketiga dalam senarai penjaring terbanyak di belakang Ciro Immobile (27 gol) dan Cristiano Ronaldo (21 gol).

Kredit foto: Claudio Villa – Inter/Inter via Getty Images

Baca artikel lain dari kami mengenai Lautaro Martinez:

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply