Rombakan Kukuhkan Benteng, Bagaimana XI Harimau Malaya Berdepan Uzbekistan

Tan Cheng Hoe Malaysia Harimau Malaya Uzbekistan

Dalam sidang media secara maya, Tan Cheng Hoe menjelaskan fokus Harimau Malaya berdepan Uzbekistan adalah mengukuhkan benteng dan ini ada benarnya jika mahu elakkan kekalahan seperti di Piala Asia 2007.

Malaysia yang turun sebagai tuan rumah dan kali pertama beraksi dalam pusingan akhir Piala Asia selepas layak sebagai tuan rumah telah dibelasah 0-5 dalam perlawanan itu. Uzbekistan mara ke peringkat suku akhir mengiringi Iran selaku juara Kumpulan C. Malaysia berada di kedudukan tercorot tanpa sebarang mata.

Jadi, apakah solusi buat Cheng Hoe? Beliau pernah menyatakan beliau tidak akan mengubah pendekatannya seperti perubahan formasi pasukan yang sering digunakannya. Oleh itu, kita boleh jangkakan formasi 4-1-4-1, 4-2-3-1 atau 4-3-2-1 bakal jadi taruhannya biarpun sudah gagal memberikan keputusan positif beberapa kali.

Dengan dikhabarkan Nazmi Faiz telah mengalami kecederaan ringan, kita mungkin akan dapat melihat sedikit rombakan di jentera tengah. Akram Mahinan dan Kenny Pallraj mungkin akan mendapat ‘lampu hijau’.

Jika sebelum ini dilema siapa yang mengemudi jentera serangan menjadi persoalan utama, namun kini beliau mahu kukuhkan benteng dahulu sambil tidak menafikan mungkin akan masih ‘bertaruh’ dengan Guilherme de Paula biarpun penyerang naturalisasi itu berdepan kritikan pedas dengan peranannya di dalam padang.

Adakah kita akan melihat perubahan wajah di barisan benteng skuad negara? Untuk penjaga gol, hampir pasti penjaga gol berpengalaman, Khairul Fahmi Che Mat akan dipertaruhkan dan ini diakui oleh Cheng Hoe.

Aidil Zafuan tetap menjadi tunjang utama sambil mungkin akan diganding pula dengan Dominic Tan walaupun mereka sebenarnya pemain yang memiliki gaya permainan yang hampir sama – ball winning centre back. Oleh itu, kali ini pengendali itu mungkin akan menukar peranan Aidil Zafuan kepada ball playing centre back.

‘Lubuk’ dalam aksi dengan Jordan, Ariff Farhan mungkin akan direhatkan untuk memberikan penampilan sulung Arif Fadzilah dalam kesebelasan utama – telah diturunkan sebagai pemain gantian tempohari. Untuk bek kanan, aksi baik dan ‘keras’ yang ditampilkan Rizal Ghazali akan memberikannya lesen untuk terus bermain.

Bakal mendepani penyerang, Eldor Shomurodov yang beraksi di pentas Serie A bersama AS Roma, jelas jentera tengah harus membantu sedaya upaya benteng pertahanan Harimau Malaya ketika diserang Uzbekistan.

jangkaan kesebelasan utama Malaysia Uzbekistan 2021

Cheng Hoe mungkin akan mempertaruhkan lebih pemain di tengah, tidak seperti aksi berdepan Jordan dengan salah satu posisi tersebut adalah di peranan pemain nombor 10 yang digerakkan oleh Syafiq Ahmad.

Baddrol Bakhtiar dijangka diberikan peranan pemain tengah menyerang untuk mengatur asakan disamping boleh membantu aliran bola di jentera tengah. Kita juga mungkin akan dapat melihat Luqman Hakim diturunkan lebih awal untuk menggerakkan posisi di sebelah kanan atau kiri Harimau Malaya pada malam ini.

Gandingannya untuk posisi inside forward itu mungkin akan diberikan sekali lagi kepada Faisal Halim yang diketahui memiliki naluri pemusnah. Apa yang diharapkan oleh Cheng Hoe adalah sentuhan penyudah.

Jadi, siapa pula pilihan penyokong bagi membarisi kesebelasan utama Harimau Malaya berdepan Uzbekistan?

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply