Rodoljob Paunovic: Sabah Adalah ‘Rumah’ Saya

Kata Imam Syafie, “Pergilah merantau dengan penuh keyakinan, nescaya kau akan temui lima kegunaan iaitu ilmu pengetahuan, adab, pendapatan, menghilangkan kesedihan dan persahabatan.”

Hakikat berada di negeri orang tentulah bukan sesuatu yang mudah buat mana-mana perantau. Tetapi tidak bagi pemain import dari Serbia, Rodoljob Roki Paunovic yang telah memasuki tahun keempatnya di Sabah.

Bekas pemain FK Kolubara itu telah menjadi penyerang utama skuad Tambadau sejak 2017 dan kejayaan terbesarnya setakat ini adalah membantu pasukannya menjuarai Liga Premier pada musim lepas.

Beliau yang kini sudah berusia 34 tahun muncul sebagai wira Sabah selepas menjaringkan 13 gol dan enam bantuan jaringan bagi menamatkan penantian selama lapan tahun untuk membolehkan Sabah layak secara merit ke saingan Liga Super.

“Saya sedar saya merupakan pemain asing, tetapi sejak hari pertama tiba di sini, saya sudah rasakan seperti lahir di sini,” kata Paunovic ketika ditemubual The Star.

“Setiap tahun yang berlalu amat menakjubkan di sini. Semua pemain melayan saya seperti kami sudah saling mengenali sejak sekian lama, jadi saya bersyukur dengan penerimaan semua orang yang menjadikan saya sebahagian daripada pasukan ini.

“Jelius Ating adalah jurulatih ketika saya sampai di sini pada bulan Mei tiga tahun lepas. Dia telah mejelaskan kepada saya segalanya mengenai sistem pasukan dan saya berusaha keras untuk menyesuaikan diri.

“Kami mula untuk membentuk semula pasukan pada 2018 dan kami hampir-hampir mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia. Tahun lepas akhirnya usaha kami membuahkan hasil dan kami berjaya membawa pulang kejuaraan liga.”

Musim pertama sejak kembali ke saingan liga elit ini, Sabah dilihat tidak terlalu ‘kekok’ dan telah pun mengumpul lima mata dari empat perlawanan awal dan ia boleh dianggap sebagai permulaan yang baik.

Paunovic bagaimanapun mengakui Liga Super berada pada tahap yang berbeza dan sehingga hari ini beliau berusaha untuk memberi motivasi kepada rakan sepasukan terutamanya pemain-pemain muda supaya bekerja keras.

“Ketika ini kami tidak boleh mengadakah latihan yang serius kerana COVID-19. Jadi kami perlu mengekalkan kecergasan di rumah dan lihat semula teknik dan taktikal.

“Memang saya bimbangkan keselamatan keluarga saya dan semua komuniti di sekitar sini tetapi saya tahu kami perlu kuat untuk memenangi ‘perlawanan’ ini dan dapatkan ‘tiga mata penuh’,” katanya yang tinggal bersama anaknya berusia tujuh bulan, isteri dan ibu mertua.

“Saya juga mahu berterima kasih kepada semua ‘pejuang’ di barisan hadapan, mereka semua adalah wira yang sebenar.”

Kredit Foto: Sabah FA

Baca juga artikel kami yang lain mengenai Paunovic dan Sabah:

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram