Rodney Celvin: Penyokong Selangor Beri Aura & Semangat Luar Biasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
Share on whatsapp
Share on email
rodney-celvin-akwensivie-selangor

Pertahanan tengah baharu Selangor, Rodney Celvin Akwensivie menyatakan kepada Semuanya BOLA mengenai keterujaannya menyertai sebuah pasukan penuh sejarah tersebut untuk musim 2020.

Hasil penggabungan Selangor dan PKNS FC, Rodney Celvin adalah antara tiga pemain yang diserap masuk ke skuad Liga Super Selangor selain Nick Swirad dan penjaga gol muda, Tauffiq Ar-Rasyid.

“Selangor mempunyai penyokong yang ramai dalam setiap perlawanan dan ianya memberi aura serta semangat yang luar biasa apabila kita berada di atas padang. Rasa teruja dan bersemangat apabila sepasukan bersama pemain-pemain tempatan dan juga import yang hebat ketika ini,” ujarnya.

Rodney Celvin merupakan tonggak penting PKNS FC sepanjang dua musim bersama selepas berhijrah daripada Sarawak untuk menyertai bekas pengendalinya, Datuk K. Rajagobal.

“Setakat ini, 80% saya sudah memahami cara permaianan Selangor di dalam padang dan tiada masalah bagi saya. Cuma, saya perlu beri fokus yang lebih lagi untuk memahami sepenuhnya.

“Bagi saya, tiada beza antara coach Rajagobal dan coach Satiananthan. Yang berbeza adalah corak permainan dan tanggungjawab yang diterapkan kepada pemain,” tambahnya lagi sambil menyatakan kedua-dua pengendali itu memiliki pengalaman luas sebagai jurulatih skuad kebangsaan.

Ketika ditanyakan keyakinannya untuk merebut kesebelasan utama daripada pemain seperti Taylor Regan, Nick Swirad serta pemain serba boleh, Safuwan Baharudin, pemain berusia 23 tahun itu menyerahkannya kepada ketua jurulatih untuk membuat keputusan mengenai siapa yang layak untuk bermain.

“Apa yang boleh saya buat adalah cuba semampu yang baik dalam setiap latihan dan mengikut arahan coach,” jelas pemain yang lebih mesra disapa Bonai dikalangan rakan-rakan sepasukan.

Walaubagaimanapun, segalanya sedikit terencat apabila beliau mengalami kecederaan pangkal peha yang memaksanya berehat untuk dua minggu serta terlepas Selangor Asia Challenge (SAC) 2020.

Rodney Celvin berkata kepada Semuanya BOLA yang beliau mahu memberikan fokus kepada misi bersama Selangor terlebih dahulu dan membuktikan kemampuannya sebelum memikirkan mengenai skuad kebangsaan yang baginya semakin sukar untuk ditembusi mana-mana pemain ketika ini.

“Harapan untuk 2020, saya inginkan kejayaan dengan Gergasi Merah, satu atau dua piala,” ujarnya sambil berseloroh yang Satiananthan adalah jurulatih yang lebih garang berbanding Rajagobal.

Kredit Foto: Goal