Rodney Calvin ‘Kembara’ Ke Utara Untuk Buru Minit Permainan

Rodney Calvin Kedah Darul Aman FC Selangor FC 2021

Pertahanan tengah Selangor FC, Rodney Calvin telah sah diumumkan dipinjamkan ke Kedah Darul Aman (KDA) FC untuk saingan Liga Super musim 2021.

Pemain berusia 24 tahun itu akan beraksi bersama Kedah untuk semusim dan bakal kembali ke Selangor pada 2022. Berkongsi kepada Semuanya BOLA, Rodney Calvin telah menjelaskan mengenai tujuan penghijrahan sementaranya itu.

Beliau memiliki baki kontrak selama dua tahun dan telah diberikan pilihan sama ada mahu kekal ataupun dipinjamkan keluar oleh pihak pengurusan pasukan.

Katanya, “Pihak pengurusan telah beri pilihan untuk saya, sama ada saya mahu kekal atau pergi loan. Sebabnya, [mereka maklumkan] musim depan saya akan kurang dapat minit bermain. Yalah, Selangor akan pakai dua bek tengah import.”

Nampaknya, untuk musim hadapan, The Red Giants bakal ditunjangi dua bek tengah import. Setakat yang diketahui, mereka telah membawa masuk pemain kelahiran Jerman, Tim Heubach. Dan dijangkakan, pemain skuad kebangsaan Singapura yang dikekalkan, Sufawan Baharudin bakal menjadi gandingannya nanti.

Sehingga kini, Selangor telah membawa naik pemain muda daripada Selangor 2, Sharul Nazeem dan mengekalkan seorang lagi bek tengah, Ashmawi Yakin yang dilihat bakal bersaing dengan kedua-dua pemain import tersebut.

Walaupun beliau pergi ke Kedah dengan misi mencari minit permainan, tetapi rezeki buatnya apabila pada ketika ini, Kedah telah kehilangan tiga bek tengah iaitu Shakir Hamzah, Irfan Zakaria dan Khairul Helmi Johari. Selain itu, skuad kendalian Aidil Sharin itu juga bakal tampil bersaing untuk kejohanan Piala AFC 2021.

Mengakui sememangnya teruja untuk ke pentas Asia, beliau tetap menegaskan yang bukan tugas yang mudah buatnya untuk mendapat tempat dalam kesebelasan utama walaupun skuad Hijau Kuning boleh dikatakan kekurangan bek tengah.

Rodney Calvin memaklumkan beliau juga tidak diberitahu akan Kedah dan menurutnya, “Benda ini tidak dijangka, dari Selangor ke Kedah, terus sertai mereka untuk [Piala] AFC. Jadi, rasa memang tidak sangka untuk sampai ke peringkat itu [Asia].”

“Apa-apa pun saya kena bekerja keras untuk pasukan supaya dapat mara lebih jauh. Saya tak terfikir macam itu [mudah dapat kesebelasan utama]. Setiap pemain ada kelebihan masing-masing. Saya tetap kena bersaing,” jelasnya lanjut.

Rodney Calvin merupakan tonggak utama PKNS FC (kini Selangor 2) pada musim 2018 dan 2019 dengan telah membuat lebih 30 penampilan sebelum bersama Selangor untuk musim 2020. Beliau telah merekodkan 659 minit permainan dalam lapan penampilannya dan merupakan tonggak utama pasukan musim lalu.

KREDIT FEATURED IMAGE: KDA FC

Baca lagi artikel lain mengenai Rodney Calvin dan Kedah:

Langkah Rodney Calvin Untuk Ke Alor Setar Tersekat, Kekal Di Selangor

Berbaki 2 Pemain Belum Diumum, Kedah Mungkin Senarai Lebih 25 Pemain

K. Rajagopal: “Panggilan Untuk Negara Lebih Penting Untuk Rodney & Firdaus”

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply