Roberto Ayala: Maradona Penuh Seni, Messi ‘Speedy Gonzales’

Ayala Maradona Messi

“Maradona adalah pemain yang penuh dengan seni dan Lionel Messi pula adalah ‘Speedy Gonzales,” kata pembantu jurulatih Argentina, Roberto Ayala.

Ayala berpeluang untuk beraksi di samping kedua-dua pemain tersebut semasa kariernya sebagai pemain. Dengan Maradona semasa awal karier dan juga Messi pada tahun-tahun akhirnya bersama skuad kebangsaan.

Bekas pemain pertahanan Napoli, AC Milan dan Valencia itu percaya terdapat perbezaan yang ketara pada kedua-dua pemain berkenaan yang telah pun diiktiraf sebagai pemain terbaik sepanjang zaman untuk skuad La Albiceleste.

“Saya bermain bersama kedua-dua mereka, bersama Diego semasa awal-awal saya menyertai skuad kebangsaan. Mereka berdua adalah dua ‘gergasi’ dalam bola sepak. Apabila Messi bersara nanti, dia akan terus diingati,” kata Ayala kepada Fox Sports.’

“Saya tak rasa dia sama seperti Diego, mereka berbeza. Diego pemain yang secara asli berseni dalam semua tingkah lakuknya, Messi pula ‘Speedy Gonzales’ yang mampu mengawal bola hanya dua sentimeter dari kakinya.”

Speedy Gonzales adalah watak kartun animasi ciptaan Warner Brothers untuk siri kartun Looney Tunes yang boleh berlari dengan amat pantas.

Sehingga kini, Messi gagal untuk menang sebarang kejuaraan di peringkat antarabangsa bersama Argentina, manakala Maradona telah memacu negaranya menjulang Piala Dunia 1986.

Kapten Barcelona itu tewas dalam empat perlawanan akhir – tiga Copa America dan Piala Dunia 2014 – namun Ayala tetap optimis Messi akan meraih kejayaan bersama Argentina satu hari nanti.

Ayala turut menyatakan kekagumannya dengan sifat rendah diri pemenang enam kali anugerah Ballon d’Or tersebut bersama skuad kebangsaan.

“Saya lihat dia telah membawa bola sepak Argentina pada satu tahap yang berbeza, bagaimana dia membentuk sebuah pasukan yang bermain bersamanyanya, bukan hanya tentang dirinya.

“Dia tidak suka dilayan seperti seorang yang istimewa, baginya semua pemain di atas padang sama sahaja.”

Ayala pernah membantu skuad bawah 23 tahun (B-23) Argentina memenangi pingat emas di Sukan Olimpik pada 2004. Bersama skuad senior negaranya selama 13 tahun, beliau telah mengumpul 115 penampilan dan menjaringkan tujuh gol.

Kredit Foto: Getty Images

Baca juga artikel kami yang lain mengenai Diego Maradona dan Lionel Messi:

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply