Robert Lewandowski Mahukan Cabaran Baru Dalam Kariernya

Pemain penyerang yang dianggap antara yang terhebat di dunia pada ketika ini, Robert Lewandowski telah mendedahkan hasratnya untuk mencari cabaran baru.

Penyerang kebangsaan Poland itu sudah menyatakan hasratnya untuk meninggalkan Bayern Munich dan mahu mendapatkan pengalaman baru beraksi bersama pasukan lain.

Menurut laporan sensasi yang dikeluarkan oleh Sky Sports, pemain kebangsaan Poland itu mahukan cabaran baru di luar dari Bayern Munich.

Bayern Munich walau bagaimanapun telah meletakkan tanda harga bernilai £100 juta kepada mana-mana kelab yang berminat untuk mendapatkan khidmat penyerang utama mereka itu.

Lewandowski menyatakan yang beliau sebenarnya sangat gembira bersama Bayern Munich, namun beliau mempunyai keinginan untuk menyertai pasukan gergasi Eropah lain, sebelum usianya mencecah 35 tahun.

Pada hujung minggu ini nanti, Robert Lewandowski akan meraikan ulang tahunnya yang ke-33 dan ia sedikit bermasalah untuk beliau meninggalkan Bayern memandangkan tanda harga yang diletakkan padanya.

Walau bagaimanapun, rekod jaringan Lewandowski bersama Bayern Munich sememangnya satu hal yang sungguh luar biasa menakjubkan.

Ketika musim 2019/20, beliau berjaya menjaringkan 55 gol dari 47 penampilan bersama Bayern Munich dalam semua pertandingan.

Dalam saingan Bundesliga musim lalu, Robert Lewandowski telah berjaya mencatatkan rekod yang sungguh luar biasa dengan beliau cemerlang meledak 41 gol dari 29 penampilan.

Siapa yang mampu tandatangani Lewandowski?

Jika dilihat pada tanda harga tersebut, Manchester City jelas menjadi pasukan pertama yang dirasakan bakal mampu untuk mendapatkan khidmat penyerang Bayern Munich itu.

Manchester City ketika ini sedang berusaha untuk menandatangani Harry Kane dengan mereka sangat terdesak untuk menandatangani pemain di posisi penyerang.

Tidak mustahil andai City tiba-tiba mengalihkan perhatian mereka untuk mengejar Lewandowski dan menggandingkan semula pemain penyerang itu dengan Pep Guardiola.

Manchester City juga sudah menyediakan dana bernilai £140 juta andai Tottenham Hotspur mahu melepaskan Harry Kane.

Spurs sementara itu sudah mengesahkan yang mereka tidak akan melepaskan Kane dan akan pastikan pemain penyerang terhebat England itu untuk kekal bersama kelab.

PSG berkemungkinan tidak akan menandatangani mana-mana pemain penyerang lagi memandangkan mereka kini sudah memiliki trio serangan terbaik dunia.

Kylian Mbappe, Neymar dan Lionel Messi sudah cukup hebat di posisi serangan Paris Saint Germain dan mustahil untuk mereka tandatangani Lewandowski.

Real Madrid dan Barcelona pula pada ketika ini sedang berdepan dengan masalah krisis ekonomi terbesar dalam sejarah mereka, jadi agak mustahil untuk kedua-dua gergasi bola sepak Sepanyol itu mengeluarkan dana besar untuk pemain baru.

Chelsea yang sebelum ini berminat untuk mendapatkan khidmat Lewandowski juga sudah mengeluarkan dana yang besar baru-baru ini untuk menandatangani Romelu Lukaku.

Jadi mereka juga berkemungkinan tidak akan sanggup mengeluarkan dana yang lebih besar untuk seorang pemain di posisi penyerang.

Mungkinkah Lewandowski akan ke Liverpool? Kembali bekerjasama dengan Jurgen Klopp?

Ya, hal itu tak mustahil untuk berlaku dengan Liverpool sangat berjimat pada jendela perpindahan musim panas ini.

Sumber:

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply