Robben Umum Persaraan Di Peringkat Antarabangsa Selepas Belanda Gagal Ke Piala Dunia

Bintang Belanda dan Bayern Munich, Arjen Robben mengumumkan persaraan antarabangsanya selepas mencatat dua gol dalam kemenangan 2-0 ke atas pasukan Sweden semalam.

Ia merupakan pengalaman yang pahit bagi pemain yang berusia 33 tahun itu kerana Belanda perlu menjaringkan 5 gol lagi untuk layak ke pusingan akhir Piala Dunia tahun depan sebaliknya gagal melayakkan diri kerana kekurangan bilangan gol.

Robben menjaringkan gol pertamanya melalui sepakan penalti dan kemudiannya memastikan Belanda di depan dengan gol kedua lima minit sebelum tamat separuh masa pertama.

Gambar kredit : ESPN FC

“Saya mahu membuktikan bahawa saya boleh melakukan sesuatu untuk pasukan,” kata Robben.

Ketika wisel penamat separuh masa pertama dibunyikan, penyokong Belanda bangun memberikan tepukan gemuruh kepada Robben sambil melaungkan “Arjen, terima kasih” dalam bahasa belanda.

Robben sempat bermain dalam saingan Piala Dunia 2006, 2010 dan 2014 serta menjaringkan 37 gol dalam 96 penampilan dalam karier antarabangsa selama 14 tahun. Rekod jaringannya menyamai Dennis Bergkamp yang paling banyak dalam sejarah bola sepak Belanda.

Robben juga mempunyai banyak masalah kecederaan selama bertahun-tahun dan dia kini memberi tumpuan kepada kerjaya kelabnya dengan Bayern Munich.

Gambar kredit : Skysports

“Saya sudah lama memikirkan untuk bersara dan saya telah membuat keputusan bahawa saya akan pergi. Saya berumur 33 tahun, masih bermain di kelab ternama eropah dan saya mahu menumpukan perhatian pada kelab ”

“Saya bangga dan ia merupakan satu penghormatan apabila dapat terlibat dalam 6 kejohanan utama. Saat-saat yang terindah sudah tentu Piala dunia 2010 dan 2014, dimana kami adalah sebuah pasukan yang rapat dan kuat. Terlalu banyak saat terindah sepanjang 14 tahun bersama pasukan kebangsaan Belanda ,” katanya.

Kali terakhir skuad kebangsaan Belanda beraksi dalam saingan Piala Dunia ialah pada tahun 2014. Ini merupakan kejohanan utama kedua yang mereka gagal layak selepas kejohanan Euro 2016.

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply