Robben Keluar Dari Persaraan, Bakal Sertai Kelab Zaman Kanak-Kanak, FC Groningen

Arjen Robben FC Groningen

Bekas penyerang Bayern Munich, Arjen Robben merancang untuk kembali beraksi dalam kancah bola sepak profesional dengan menyertai kelab semasa zaman kanak-kanaknya FC Groningen pada umur 36 tahun.

Beliau telah mengumumkan persaraannya pada Julai 2019 selepas berjaya megumpul lebih 30 trofi kejuaraan sepanjang kariernya di beberapa kelab Eropah.

Bagaimanapun beliau kini sedang mempertimbangkan untuk kembali beraksi pada musim depan bagi membantu Groningen yang kini sedang berdepan dengan impak kewangan ekoran penggantungan liga.

“Saya berusia 12 tahun apabila bula bermain untuk akademi FC Groningen. Saya membuat debut berdepan Feyenoord pada usia 16 tahun. Selepas dua tahun, saya berpindah ke PSV Eindhoven,” ujar Robben dalam satu video yang dimuat naik dalam Twitter kelab.

“Selepas 18 tahun yang cukup indah, saya akhirnya pulang ke ‘rumah’, kembali ke Groningen. Saya kembali ketika krisis yang menjadi tempoh sukar yang turut memberi kesan kepada pasukan ini.

“Tetapi saya gembira melihat penyokong terus setia memberikan sokongan kepada kelab. Saya juga akan menyokong kelab ini dan saya sedang memikirkan apakah yang saya boleh buat untuk kelab kesayangan kita ini.

“Dalam beberapa minggu lepas, saya telah ada bercakap dengan pekerja kelab dan saya mula terfikir dengan suara penyokong yang meminta saya untuk ‘ikut kata hati’ supaya kembali menjadi pemain Groningen.

“Saya mula memikirkan tentang idea tersebut dan sekarang saya akan mulakan misi ini. Saya mahu kembali menjadi pemain bola sepak, menjadi pemain FC Groningen. Memang impian saya untuk kembali menyarung jersi pasukan ini.

“Saya tidak pasti adalah keputusan ini boleh membantu, tetapi ianya memerlukan komitmen dan motivasi. Kelab ini perlu dibantu selepas berdepan dengan tempoh sukar dengan krisis pandemik yang berlaku.”

Groningen menduduki tangga kesembilan dalam carta Eredivisie apabila musim 2019/20 ditamatkan pada April ekoran pandemik yang melanda di seluruh dunia.

Perlawanan pertama musim baharu dijangka akan berlangsung pada pertengahan September, enam bulan selepas kali terakhir pasukan tersebut beraksi ketika tewas 1-0 kepada PSV Eindhoven pada Mac.

Robben menempuh tiga musim yang di Chelsea sebelum berhijrah ke Real Madrid dan akhirnya menjadi pemain sayap prolifik di Bundesliga bersama Bayern Munich sebelum mengumumkan persaraannya di kelab tersebut pada penghujung musim lepas.

Beliau turut mengumpul 96 kaps bersama skuad kebangsaan Belanda dan berjaya membawa pasukan itu mara ke perlawanan akhir Piala Dunia 2010 sebelum tewas kepada Sepanyol.

Kredit Foto: FC Groningen

Baca juga artikel kami yang lain mengenai Arjen Robben:

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram