Rita Rudaini Rancang Terbit Program Realiti Pencarian Bakat Bola Sepak

Iklan

Rita Rudaini

Sebuah lagi rancangan realiti pencarian bakat bola sepak negara dijangkakan bakal diterbitkan hasil idea pengasas dan presiden kelab RR Cougars FC yang juga seorang pelakon, Rita Rudaini.

Turut berada dalam perancangannya adalah kolaborasi bersama kelab bola sepak luar samaada rakan serantau atau kelab Eropah untuk sama-sama menjayakan rancangan realiti tersebut.

Selepas dua tahun menguruskan RR Cougars FC, Rita Rudaini terpanggil untuk mencungkil bakat baharu bola sepak tempatan dan perbincangan telah pun diadakan bersama Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith.

Dipetik daripada Kosmo Online, Rita Rudaini menyatakan yang pihaknya telah membentangkan idea ini dan maklum balas daripada pihak kementerian adalah positif.

“Saya telah mengadakan perbincangan bersama menteri di kementerian berkaitan dan membentangkan kertas kerja. Maklum balas daripada pihak kementerian amat baik,” ujarnya.

Selain itu, Rita Rudaini turut menyatakan yang program realiti itu nanti akan mensasarkan pencarian bakat muda dalam kalangan kanak-kanak yang berusia enam hingga 12 tahun.

RR Cougars, Rita Rudaini
FOTO: BH/Nur Adibah Ahmad Izam

Pelakon berusia 43 tahun yang berasal daripada Perlis itu telah ditemui pihak media ketika sidang media kejohanan RR Junior Cup 2019 di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada Jumaat lalu.

Kejohanan dua hari tersebut dijangka akan berlangsung pada 20 dan 21 Julai di Arena Bola Sepak Eco Ardence Setia Alam, Shah Alam di Selangor dan turut akan disertai RR Cougars FC.

RR Junior Cup 2019 telah memasuki tahun kedua penganjurannya dan menurut Rita Rudaini, pihaknya menjangkakan penyertaan kelab bola sepak luar dari Korea dan Jepun untuk edisi ini.

RR Cougars FC adalah kelab yang ditubuhkan oleh Rita Rudaini sendiri pada awal tahun 2018 yang lalu atas sebab minat anak-anaknya yang dilihat mula cenderung ke arah bola sepak.

Kedua-dua anaknya iaitu Airit Rayyan Rizqin, 10 tahun dan Airit Qaqa Arjuna 8 tahun adalah hasil perkongsian hidupnya bersama pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan pemain skuad Harimau Malaya, Aidil Zafuan Abd Razak. Mereka bercerai pada tahun 2013.

Kelab tersebut kini dilatih oleh dua jurulatih iaitu Ahmad Haz Muhamad Zaki (lesen B) dan Budiyanto Mat Nanto (Lesen D) serta telah disertai oleh hampir 100 pemain berusia 6 hingga 16 tahun.

Kredit foto: Kosmo/Fauzi Baharuddin 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram