Risiko Digugurkan Jika Tak Mampu Sesuaikan Diri Dengan Cuaca Sejuk

Skuad Malaysia bawah 23 tahun (B-23) negara sudah pun berlepas ke Korea Selatan semalam bagi menyesuaikan diri dengan cuaca sejuk sebelum mengharungi cabaran sebenar pada Kejuaraan B-23 Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2018 di China, tahun depan.

Ketua jurulatihnya, Datuk Ong Kim Swee berkata kepada Berita Harian, kemampuan pemain menyesuaikan diri dengan keadaan itu disifatkan antara kriteria penting bagi memastikan mereka mendapat tempat dalam skuad utama ke China.

Skuad negara bergambar bersama sebelum berlepas ke Korea semalam. FOTO: FAM

Beberapa perlawanan persahabatan akan diaturkan di sana bagi membolehkan Kim Swee menilaikan kemampuan pemain beraksi dalam cuaca sejuk di Mokpo, Korea.

“Apa yang saya ingin lihat pada aksi persahabatan itu nanti pemain dapat mengikut arahan dan mampu bermain dalam cuaca sejuk dan saya lihat ia kriteria utama.

“Jika mereka tidak mampu menyesuaikan diri, mungkin itu akan menjadi salah satu faktor (digugurkan), namun semuanya terpulang pada tiga aksi persahabatan di sana nanti,” jelasnya.

Bagaimanapun, Kim Swee yakin anak buahnya mampu menyesuaikan diri dengan cuaca yang di luar kebiasaan mereka dan beliau menjangkakan pemain akan selesa dalam tempoh tiga ke empat hari selepas tiba di sana.

“Apapun, saya tahu pemain tetap memerlukan tiga ke empat hari untuk menyesuaikan diri dan selepas itu kita akan melihat tahap kemajuan setiap pemain memandangkan kita perlu fokus kepada pendekatan serta apa yang kita ingin lakukan,” katanya.

Skuad negara akan menjalani latihan pusat di sana selama 2 minggu sebelum berlepas ke China.

Sepanjang latihan di sana, mereka bakal mengharungi tiga aksi persahabatan bertemu Mokpo City (20 Disember), Jeonju University (22 Disember) dan Jeonju Citizen (28 Disember).

INFOGRAFIK : Datuk Ong Kim Swee telah memilih 30 pemain awal yang bakal membawa cabaran negara di kejohanan AFC Bawah 23 Tahun pada januari depan.

“Saya ibaratkan latihan di Korea Selatan ini sebagai latihan fasa kedua dan ini peluang kita untuk melakukan penambahbaikan daripada segala aspek sebelum latihan fasa ketiga di China nanti.

“Saya hanya mahu berfikiran positif dan kalau terjadi apa-apa masalah ketika di Korea Selatan nanti, sudah tentu kita ada pelan alternatif yang boleh diambil,” katanya kepada Berita Harian.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram