Retro Bola Sepak (RBS): ‘Saddiq Sepak Bola’

Halaman peminat bola sepak terkenal tanah air, Retro Bola Sepak (RBS) ada mesej khas kepada Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Syed Saddiq.

Ini selepas Syed Saddiq meminta Lim Teong Kim bertanggungjawab di atas kegagalan skuad Malaysia layak ke Piala Dunia B-17.

Ini kerana menurut Syed Saddiq, Lim Teong Kim dibayar RM175,000 sebulan. Ini adalah nukilan khas RBS kepada Syed Saddiq.

Sadiq sepak bola – RBS

Perlantikan beliau selaku Menteri Belia Sukan mendapat respon bercampur-baur.

Ada yang mengangkat kening tanda khuatir akan kecetekan pengalamannya. Ada juga yang mengangguk setuju, konon mengangkat suara anak muda.

Bola sepak di Malaysia jadi tumpuan. Apakah inisiatif beliau untuk memastikan sukan bola sepak di Malaysia berada di landasan yang betul.

Landasan barangkali dah betul, tapi destinasi yang salah, itu yang kita bimbangkan.

7 Julai 2018, beliau mencuri tumpuan alam sosial, bilamana ketularan gambar beliau sedang mengutip sampah pasca final Piala FA 2018 antara Pahang dan Selangor.

Beliau khabarnya mahu didik rakyat Malaysia supaya tertib menjaga kebersihan di stadium, menjadikan penyokong Jepun di Piala Dunia 2018 yang lalu sebagai tauladan.

Bertepuk-tangan sang pendokong, bersorak-puji sang pengampu. Netizen majoriti puji tindakan Menteri Belia dan Sukan yang baharu itu.

13 Julai, beliau terbang ke Indonesia, untuk bertemu rakan sejawatnya di sana bagi membincangkan hal keselamatan para atlet Malaysia di sana.

Ini rentetan daripada layanan teruk yang diterima oleh pasukan bawah 19 tahun kebangsaan yang mengharungi Piala AFF Bawah 19 Tahun di Indonesia.

Pertemuan empat mata itu khabarnya berjalan baik, dan Menteri Sukan Indonesia berjanji akan memandang serius perkara tersebut.

22 Julai, ekoran kemelut pelepasan pemain oleh pasukan / kelab domestik ke sesi latihan skuad kebangsaan bawah 23 tahun kelolaan Ong Kim Swee sebagai persiapan ke Sukan Asia 2018, beliau tampil mahu jadi orang tengah bagi menyelesaikan masalah itu.

Katanya beliau akan bertemu dengan Ong Kim Swee untuk berbincang. Beliau juga mahu aturkan pertemuan dengan semua Exco Sukan negeri.

Masa beredar, masih ada pasukan yang enggan lepaskan pemain.

Tapi yang paling malang, adalah kenyataan rasmi beliau mewakli KBS, yang mengulas akan hal pelepasan pemain tersebut.

Sudahlah ayatnya tunggang-langgang, tatabahasa entah ke mana, ayatnya berulang-ulang, entah pegawai mana lah yang tolong karang, atau si tuan empunya badan yang karang sendiri.

Kenyataan rasmi itu mendapat kecaman netizen.

Bak kata Tuah; “Tak sepadan dengan darjat mu”.

Seorang netizen yang juga arif dalam bidang bahasa telah bagi markah 30/100 pada kenyataan rasmi tersebut, ekoran terlalu banyak kesilapan teknik bahasa.

Tangkap layar daripada Mstar Online

27 Julai, beliau kurang bersetuju khidmat pemain naturalisasi digunakan dalam skuad kebangsaan.

Beberapa hari selepas itu, biarpun sebelum itu beliau tidak bersetuju, beliau kemudiannya menukar sedikit pandangannya.

Boleh untuk naturalisasi tapi bersyarat, iaitu pembangunan akar umbi usah dinyah-sampingkan.

Beliau tampil senada dengan Perdana Menteri yang merestui hasrat FAM mahu guna khidmat pemain naturalisasi.

Pada 2 Ogos pula, seusai pertemuan beliau dengan Presiden FAM, beliau telah memberi gambaran bahawasanya NFDP Malaysia – PPBN kelak bakal diselia dan dikelolakan di bawah FAM, bukan lagi di bawah KBS.

Faktor kos menjadi alasan.

Netizen dan umat bola Malaysia mula sangsi.

Apakah nasib NFDP andai program itu diletak di bawah FAM?

“Ogos kian menjelma..
Sehingga terlupa..
September meninggalkan kita” ???

18 September, beliau bermain untuk pasukan pilihannya menentang sekawan dugong di kawasan Parlimennya dalam satu perlawanan bola sepak persahabatan.

Bila ditanya bila kah kali terakhir beliau turun bermain bola di padang, ini jawab beliau;

“Saya tak ingat bila last time saya main bola sepak, selalunya futsal”.

September juga, Malaysia jadi tuan rumah Kejohanan Piala AFC Bawah 16 Tahun.

Beliau mengkritik pengurusan pihak penganjur dalam menguruskan hal penjualan tiket.

Elok sehari selepas itu, beliau terus umumkan perlantikan Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM).

Dan selepas kegagalan skuad bawah 16 tahun negara layak ke suku akhir yang turut meleburkan impian untuk layak ke Piala Dunia Bawah 16 Tahun di Peru pada tahun hadapan, beliau terus memberi maklum balas.

Didedahkan gaji yang diperoleh oleh Pengarah NFDP merangkap ketua jurulatih skuad bawah 16 tahun kebangsaan, iaitu Teong-Kim Lim. Beliau mahu LTK bertanggungjawab atas kegagalan anak buahnya.

FAM memecat LTK dari jawatan mengendali skuad bawah 16 tahun Malaysia.

Menteri muda ini turut umumkan yang projek NFDP akan disemak seta dirombak.

LTK hari ini beri maklum balas mempertahankan dirinya adalah individu paling layak menerajui NFDP. Dari sifar beliau gemblengkan NFDP.

“Keputusan tidak positif tetapi dari segi cara mereka bermain bola sepak, NFDP di landasan yang betul.”

“Mungkin saya salah tetapi di Bayern Munich, mereka melabur jutaan euro untuk satu musim bagi program pembangunan. Adakalaya ada pemain yang tidak diserapkan ke dalam kesebelasan utama.”

“Program pembangunan bukan jaminan untuk pemain menang sesuatu kejohanan. Ini semua adalah pelaburan. Jika tidak mula sekarang bila lagi?”

“Saya bersama Bayern Munich selama 12 tahun, saya tahu apa yang saya cakap”.

Abang Retro (RBS) menunggu respon dan tindakan Menteri Sokan kita berkenaan hal ini.

Beliau perlu lebih berhati-hati selepas ini dalam membuat kenyataan. Sebab kalau silap taip dalam WhatsApp, boleh padam, tapi kalau silap kata dalam media, orang jadikan modal untuk kritik.

Nota Editor: Artikel asal adalah daripada Retro Bola Sepak bertajuk Saddiq Sepakbola. Penerbitan semula di semuanyaBOLA adalah atas keizinan RBS. Like dan ikuti page Retro Bola Sepak untuk lebih banyak kupasan bola sepak.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN