Retak Menanti Belah, Bagaimana Aksi Perak FC Sebelum Liga Berehat?

Perak FC 2021 retak menanti belah

Perak FC dijadualkan akan turun menentang Sri Pahang FC pada esok dan malam tadi, keseluruhan skuad mereka melancarkan mogok akibat masalah tunggakan gaji.

Umpama retak menanti belah, Perak dilihat tidak mustahil untuk diturunkan pangkat ke Liga Premier selepas keputusan yang tidak memihak kepada mereka musim ini.

Umum mengetahui Perak melalui masalah tunggakan gaji sejak beberapa bulan dan kemuncaknya, sesi latihan malam tadi tidak dapat dijalankan apabila keseluruhan pasukan melancarkan boikot dan hanya berada di perkarangan Stadium Perak.

Menurut perkongsian beberapa rakan media, suasana dilihat aman tanpa sebarang provokasi, namun mogok ini memperlihatkan para pemain sudah tidak lagi mampu bertahan dengan pelbagai masalah yang melanda pasukan sejak awal musim.

Dikhabarkan pada awal April lalu, Shakir Hamzah dan Azri Ghani bakal meninggalkan pasukan apabila ejen mereka memberikan isyarat akan ada pemain mereka yang bakal mengaktifkan klausa untuk meninggalkan pasukan dek kerana masalah gaji.

Begitupun, kedua-dua pemain dilihat terus bermain tanpa dilihat ada apa-apa masalah yang sedang melanda pasukan lagi selepas tewas kepada Penang FC pada 3 April lalu. Namun, dalam enam aksi selepas itu, mereka hanya merekodkan tujuh mata sahaja.

Mereka tewas dalam pertembungan menentang Selangor FC, Melaka United dan Sabah FC, sebelum bangkit pada aksi menentang PJ City dengan keputusan 1-0.

Ia perkembangan kurang baik apabila melihat kedudukan Perak yang berada di tangga ke-9 Liga Super 2021 dengan 12 mata, dibezakan hanya tiga mata daripada pasukan yang berada di zon penyingkiran dan lawan mereka minggu ini, Sri Pahang.

Dikhabarkan hampir keseluruhan skuad Perak musim ini termasuklah pengendalinya bakal meninggalkan pasukan, namun ia dilihat sebagai khabar angin yang nakal. Tetapi dengan mogok yang berlaku malam tadi, adakah perkhabaran itu adalah benar?

Menurut info yang didapati di laman sosial, kapten yang tersisih beberapa minggu akibat kecederaan, Shahrul Saad sedang mempertimbangkan untuk angkat kaki.

Selepas mengalami kecederaan ketika tewas kepada Penang, Shahrul Saad hanya tampil dua kali iaitu ketika tewas kepada Sabah dan menang ke atas PJ City. Adakah itu petanda yang bek kental skuad kebangsaan itu bakal meninggalkan mereka?

Beberapa pasukan seperti Sri Pahang, Terengganu FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) dikaitkan sedang cuba untuk memancingnya bersama Selangor. Sri Pahang dan Terengganu dilihat sudah menafikan tentang isu perpindahan melibatkannya.

Sempena 100 tahun bola sepak Perak, ini bukanlah sesuatu yang mahu dilihat atau didengar oleh para penyokong Perak. Pengacara Astro Arena, Hafizal Hamad dalam [email protected] baru-baru ini turut tampil mengingatkan pengurusan Perak.

Jadi, bagaimana dengan perlawanan Perak menentang Sri Pahang yang dijadualkan berlangsung pada esok malam dan adakah Perak sedang retak menanti belah?

Baca lagi artikel lain mengenai Perak FC:

Shakir Hamzah, Azri Ghani Bakal ‘Angkat Kaki’, Tinggalkan Perak?

‘Tolong Kami, Bantu Kami’ – Perak FC Cari Penaja Untuk Selesai Isu Tunggakan Gaji

‘Baik Bantu Rakyat Susah’ – Kerajaan Negeri Tak Nak Tanggung Tunggakan Gaji Perak FC

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply