Rekod Soh Chin Aun Mungkin Tak Bertahan Lama, Ronaldo Berpeluang Cerah Memintas

Cristiano Ronaldo Soh Chin Aun

Rakyat Malaysia tentunya berbangga apabila Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengiktiraf pencapaian Dato’ Soh Chin Aun (Soh Chin Ann) selaku pemegang rekod penampilan antarabangsa terbanyak di dunia.

Berita gembira itu baru sahaja diterima pada awal bulan lalu apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan bahawa badan pengelola bola sepak dunia tersebut telah membuat semakan dan mengiktiraf 195 kaps antarabangsa milik bekas kapten skuad negara itu.

Ia sekaligus memintas rekod milik pemain Kuwait, Bader al-Mutawa yang mengumpul 185 penampilan ketika pasukannya tewas 0-2 kepada Bahrain dalam aksi pusingan kelayakan Piala Arab.

Chin Aun kini memimpin senarai FIFA Century Club yang dikeluarkan oleh FIFA untuk pemain-pemain di seluruh dunia yang telah memiliki 100 kaps dan lebih.

Bagaimanapun rekod kebanggaan kita itu mungkin tidak dapat bertahan lama.

Penyerang Portugal, Cristiano Ronaldo yang baru sahaja memecahkan rekod penjaring gol terbanyak antarabangsa kini sedang mengintai peluang untuk mengatasi rekod tersebut.

Pemain berusia 36 tahun itu maraih kaps ke-180 ketika aksi pusingan kelayakan Piala Dunia menentang Republik Ireland pada awal pagi tadi dan meledak dua gol untuk mencipta kemenangan dramatik Portugal pada minit-minit akhir yang merupakan gol antarbangsa ke-110 dan 111 dalam kariernya.

Ini bermakna Ronaldo hanya memerlukan 16 perlawanan sahaja lagi untuk mengatasi rekod milik Chin Aun.

Dengan prestasi serta fizikalnya ketika ini, beliau dijangka tidak berdepan masalah untuk mencapainya dalam masa terdekat.

Pemain lain yang turut mempunyai peluang adalah pemain Sepanyol, Sergio Ramos yang juga mempunyai 180 penampilan antarabangsa dan kini masih aktif beraksi.

Namun pemain yang baru sahaja menyertai Paris Saint-Germain tersebut tidak dipanggil untuk kejohanan Euro 2020 tempoh hari dan sekali lagi dipinggirkan untuk aksi pusingan kelayakan Piala Dunia yang sedang berlangsung ketika ini.

Sekiranya rekod milik Chin Aun itu dipintas dan nama legenda bola sepak negara itu tidak lagi berada di ‘puncak dunia’, sudah tentu ia sedikit sebanyak mengecewakan rakyat Malaysia.

Akan tetapi, beliau tetap menjadi kebanggaan kita semua seperti mana kita melihat nama Allahyarham Dato’ Mokhtar Dahari diabadikan dalam senarai tiga penjaring gol terbanyak antarabangsa dengan 89 gol di belakang Ronaldo dan Ali Daie.

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply