Rekod Buruk Di Itali Hantui Chelsea Menjelang Pertemuan Menentang Juventus

Chelsea

Chelsea hadir ke Itali untuk menentang Juventus dalam saingan UEFA Champions League (UCL) berbekalkan rekod buruk yang dimiliki mereka.

Untuk rekod, Chelsea telah mencatatkan empat kekalahan berturut-turut sepanjang lawatan mereka ke Itali.

Kekalahan tersebut dicatatkan apabila mereka menentang empat lawan yang berbeza:

  • Inter Milan (2009/2010)
  • Napoli (2011/2012)
  • Juventus (2012/2013)
  • AS Roma (2017/2018)

Rekod yang tidak baik ini bagaimana pun cuba dipadamkan oleh Chelsea yang ketika ini beraksi mantap dalam saingan Premier League.

Mereka selesa berada dalam kedudukan empat terbaik liga walaupun baru-baru ini mereka dikalahkan Manchester City.

Chelsea pastinya mahu mengambil kesempatan diatas kegoyahan Juventus yang mengalami rekod buruk dalam permulaan Serie A mereka.

Mereka hanya mencatatkan dua kemenangan, dua seri dan dua kekalahan dengan jumlah perbezaan gol pada nilai sifar.

Dengan dua kemenangan tipis berjaya dicatatkan baru-baru ini menentang Spezia dan juga Sampdoria, motivasi Juventus pastinya meningkat menjelang pertemuan dengan Chelsea.

Oleh itu, Chelsea harus waspada dengan ancaman Juventus terutamanya di laman mereka sendiri.

Kelajuan adalah kunci

Terdesak untuk mengubah rekod buruk di Itali, Chelsea pastinya mahu menang menentang Juventus di Turin.

Untuk memastikan misi itu tercapai, menggunakan sebaiknya kepantasan yang ada pada skuad The Blues amat penting bagi Jorginho.

Pada hemat beliau, Juventus adalah pasukan yang cukup mantap dari segi taktikal dan adalah penting buat mereka berhati-hati ketika perlawanan.

“Jelas sekali, mereka adalah pasukan yang cukup kuat dari segi taktikal. Mereka tahu bagaimana hendak mengawal kotak penalti kerana Juventus sangat tersusun.”

“Kami perlu tumbangkan mereka dengan kelajuan, tenaga dan kami sedar ianya adalah tugas sukar.”

“Kami hormati mereka tetapi kami ke sana untuk menang,” kata Jorginho menerusi laman rasmi Chelsea.

Chelsea akan bertemu Juventus di Allianz Stadium pada jam 3 pagi waktu Malaysia.

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply