Rekod 5 Kemenangan Berturut-Turut, Bermulanya Era Baharu Jerman Di Bawah Hansi Flick

Jerman Hansi Flick

Pengurus Jerman, Hansi Flick memuji persembahan cemerlang pemainnya yang mudah mengatasi Macedonia Utara 4-0 untuk mengesahkan tempat ke pusingan akhir Piala Dunia 2022.

Malam sempurna Die Mannschaft dimulakan oleh Kai Havertz dan rakan sepasukannya di Chelsea, TImo Werner menambah dua gol sebelum Jamal Musiala menambah gol keempat untuk menjadi penjaring gol kedua termuda dalam sejarah (18 tahun 227 hari).

Flick turut mencatat rekod sebagai jurulatih Jerman kedua yang menang semua lima perlawanan pertamanya selain Joachim Low, sekaligus memanjangkan rekod Jerman sebagai pasukan yang tidak pernah gagal untuk mara ke kejohanan Piala Dunia sejak 1954. Hanya Brazil sahaja yang mempunyai rekod yang sama.

Beliau yang mempunyai rekod cemerlang ketika membimbing Bayern Munich sebelum ini sepertinya begitu serasi dengan skuad kebangsaan selepas pasukannya merekodkan 18 jaringan dan hanya bolos satu gol sahaja sejak dilantik.

“Kita sekarang sudah menang lima dari lima perlawanan musim ini,” ujar Flick dalam sidang media selepas perlawanan.

“Kita memang mahu layak secepat yang mungkin. Saya harus memberi pujian selayaknya kepada semua pemain dengan sikap dan semangat mereka.

“Tentunya pada separuh masa pertama ia agak mencabar, tetapi kami berhak untuk meraikan kerana berjaya meraih kemenangan dan layak. Kami lebih konsisten selepas gol pertama dan kemudian segalanya menjadi lancar.”

Werner yang ketika ini sedang menikmati prestasi terbaiknya bersama Chelsea meneruskan kecemerlangannya bersama skuad Jerman selepas merekodkan sembilan percubaan dan Flick memuji aksi penyerangnya itu.

“Sekarang kita mempunyai masa untuk memperbaik segala kelemahan sehingga Piala Dunia pada November 2022. Saya sedang meneliti setiap aspek. Gol kedua Werner saya anggap yang terbaik pada malam ini,” tambahnya lagi.

“Tidak mudah untuk dia, tetapi kita boleh lihat dia berusaha melakukan percubaan dan akhirnya mendapat dua gol.”

Bekas penyerang RB Leipzig itu telah menjaringkan 21 gol untuk pasukan negaranya dan menganggap pelantikan Flick menjadi batu loncatan buat kariernya di peringkat antarabangsa.

“Jika jurulatih percaya memberi kepercayaan penuh kepada kamu, ia akan membantu setiap pemain. Saya cuma perlukan kepercayaan darinya. Dia berikan saya 100 peratus keyakinan, saya akan sedaya upaya membayarnya semula dengan aksi terbaik di atas padang,” ujar Werner.

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply