Reinier Jesus: 5 Fakta Menarik Mengenai Penyerang Baharu Dortmund Yang Dipinjam Dari Real

Reinier Jesus Borussia Dortmund Real Madrid

Borussia Dortmund telah berjaya menambah bisa di bahagian serangan mereka dengan mendapatkan penyerang Brazil bawah 23 tahun (B-23), Reinier Jesus Carvalho secara pinjaman selama dua musim dari Real Madrid.

Pemain berusia 18 tahun yang dibeli Los Blancos pada Januari lalu berkata beliau yakin dengan reputasi Dortmund yang telah banyak membangunkan potensi pemain muda dan menjadikan mereka pemain yang lebih baik.

“Saya mahu banyak belajar di sini, beraksi sekerap yang mungkin dan membantu pasukan ini menempa kejayaan. Saya harap dapat meraih banyak pengalaman berharga.”

Bekas pemain Real, Achraf Hakimi juga pernah dipinjamkan selama dua musim ke Kelab Bundesliga tersebut sebelum ini, tetapi pemain muda Morocco itu dijual ke Inter Milan sejurus ahaja tempoh pinjamannya tamat. Jadi apa pula nasib Reinier selepas dipinjamkan ke Dortmund?

Berikut merupakan lima fakta mengenai pemain muda sensasi ini:

1. Dicanang sebagai jelmaan Kaka

Mungkin tidak keterlaluan untuk membandingkannya dengan bekas pemain Real Madrid ini. Tidak dinafikan Kaka adalah pemain yang mempunyai keistimewaannya yang tersendiri.

Namun pemerhati bola sepak melihat gaya permainan Reinier terdapat banyak persamaan dengan bekas pemain legenda Brazil itu. Gerak kakinya yang mengkagumkan dan kemampuannya ‘menggelek’ membolehkan beliau melepasi pemain pertahanan lawan dengan mudah.

Walaupun dalam tempoh singkat kariernya di Liga Brazil, mana-mana pasukan yang akan berdepan Flamengo akan bersedia mengarahkan lebih daripada seorang pemain untuk mengekang pergerakannya kerana khuatir dengan ancaman yang dijelmakan.

Dengan mempunyai kepantasan, kemahiran teknikal yang mantap serta kelebihan fizikal dengan ketinggian 1.85 meter, ia jelas merupakan mimpi ngeri buat mana-mana pemain pertahanan lawan yang akan berdepan dengannya.

2. Tidak kekok beraksi dalam skuad utama pada usia remaja

Reinier membuat penampilan pertamanya untuk skuad utama Flamengo ketika pasukannya bangkit dalam aksi timbal balik kejohanan Copa Libertadores menentang Emelec pada Julai 2019 di Stadium Maracana. Beliau masuk sebagai pemain gantian dan beraksi selama 20 minit.

Beliau kemudian membuat debut dalam aksi liga berdepan Bahia pada minggu berikutnya. Tidak mahu lagi menoleh ke belakang, dalam aksi pertamanya apabila diturunkan dalam kesebelasan utama, beliau yang barusia 17 tahun ketika itu menjaringkan satu gol dan menyumbang satu bantuan jaringan ketika menewaskan Avai.

Prospek muda Brazil itu telah mencetak enam gol dalam 14 perlawanan liga. Statistik tersebut ternyata sudah cukup untuk menunjukkan mengapa pelaburan Real Madrid akan memberi hasil yang lumayan pada masa hadapan.

3. Zinedine Zidane merupakan idolanya

Walaupun dikatakan menyamai atau menyerupai Kaka, namun faktanya beliau lebih mengidolakan pengurus Real Madrid, Zinedine Zidane.

“Sangat sangat terinspirasi dengan Zidane. Saya telah banyak menonton video aksinya di internat untuk melihat caranya bermain. Saya sentiasa berusaha untuk bermain seperti beliau” katanya dalam satu temubual.

Reinier kemudian teruja dengan pembangunan dua pemain muda Brazil, Vinicius Junior dan Rodrygo yang telah pun menjadi pemain penting di Los Blancos. Oleh itu beliau percaya penghijarahannya ke kelab Sepanyol itu satu keputusan tepat untuk kariernya.

4. Dibesarkan dalam keluarga bola sepak

Reinier adalah anak kepada juara Piala Dunia Futsal, Mauro Brasilia. Sejak kecil lagi, bapanya telah pun menerapkan corak permainan pantas dan berintensiti tinggi. Latihan-latihan tersebut jelas membantu perkembangan beliau seiring dengan perekembangan usianya..

Hasilnya boleh dilihat seawal dirinya masih remaja. Dengan dunia bola sepak moden pada hari ini amat mementingkan kepantasan, bakat Reinier yang mempunyai teknik larian dan kemahiran yang tinggi sehingga bola seolah-olah ‘melekat’ pada kakinya menjadikan beliau penyerang yang serba lengkap.

https://twitter.com/EduardoHagn/status/1195440234336595968?s=20

5. Tidak berputus asa walaupun pernah ‘dibuang’ tiga pasukan

Lahir di ibu negara Brazil, Brasilia, keluarganya kemudain berpindah ke Rio de Janeiro. Reinier kemudian mencuba nasibnya di tiga kelab berbeza iaitu Vasco da Gama, Botafogo dan Fluminense. Namun akhirnya Flamengo yang berjaya mengesan bakat istimewa yang ada padanya.

Bermula dengan bermain di posisi pemain tengah bertahan, kelab tersebut melihat kelebihan Reinier yang sebenar adalah boleh bergerak pantas di atas padang. Hari demi hari, beliau semakin bersinar dengan peranannya selaku pemain nombor 10.

Walaupun Reinier pernah dikatakan tidak cukup bagus di awal kariernya, bintang baharu Dortmund ini pastinya akan membuktikan beliau bakal menjadi bintang utama Brazil satu hari nanti.

Kredit Foto: Borussia Dortmund

Baca juga artikel kami yang lain mengenai perkembangan bola sepak Eropah:

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN