Real Madrid Menyesal Tak Jual Gareth Bale Awal-Awal

Iklan

Real Madrid pastinya menyesal kerana menghalang perpindahan Gareth Bale ke China. Ini kerana pemain sayap dari Wales itu dilaporkan tidak mahu menyertai skuad 24-pemain menentang Manchester City pada awal pagi esok.

Media melaporkan pengurus Real Madrid, Zinedine Zidane, mengesahkan Bale tidak cedera. Tetapi Bale tetap tidak mahu menyertai kunjungan rakan pasukannya ke Etihad Stadium kerana tahu beliau ‘tidak mempunyai sebarang peluang untuk bermain’. 

“Saya ada bercakap secara peribadi dengan beliau. Bale memang tak mahu main,” kata Zidane.

Ketika ditanya sama ada masa depan Bale masih di Madrid, Zidane berkata:

“Saya tak tahu. Apa yang saya tahu, sekarang beliau adalah pemain Real Madrid. Itu tak berubah.  Beliau masih lagi pemain kami. Saya masih lagi hormatkan beliau, sepertimana saya hormat pemain-pemain lain.

“Cuma beliau beritahu saya, beliau tak mahu main. Itu saja yang saya boleh beritahu.”

Penyerang sayap berusia 31 tahun itu hanya tersenarai dalam kesebelasan utama sebanyak 14 kali dalam semua kejohanan pada musim ini. Bagaimanapun selepas pandemik COVID-19, beliau hanya bermain sebanyak dua kali saja.

MADRID, SPAIN – MAY 19: Gareth Bale of Real Madrid looks on from the substitute bench before the La Liga match between Real Madrid CF and Real Betis Balompie at Estadio Santiago Bernabeu on May 19, 2019 in Madrid, Spain. (Photo by Denis Doyle/Getty Images)

Pada musim panas 2019, barisan ahli lembaga pengarah Real Madrid menghalang hajat Bale untuk menyertai pasukan Chinese Super League, Jiangsu Suning. 

Jiangsu Suning dilaporkan menawarkan kontrak mewah bernilai £1 juta seminggu.

Bagaimanapun Real Madrid tidak bersetuju dengan nilai yuran perpindahan yang ditawarkan oleh kelab Cina tersebut, kerana lebih rendah daripada £85 juta yang dibayar mereka kepada Tottenham pada 2013.

Bale ketika ini mempunyai baki 2 tahun dalam kontrak  yang memberinya gaji £600,000 seminggu  yang ditandatanganinya pada 2016 lepas.

Media Sepanyol juga melaporkan hubungan Bale dengan Zidane telah dingin sejak 2019. Selepas tidak menyenaraikan Bale dalam perlawanan pra-musim menentang Bayern Munich pada Julai 2019, Zidane dipetik berkata:

“Saya harap beliau cepat-cepat meninggalkan pasukan. Inilah situasi yang terbaik untuk semua orang. 

“Kami sedang berusaha untuk mencari pasukan baru Bale. Saya tak ada apa-apa masalah dengan beliau, tapi inilah masanya untuk situasi ini diselesaikan secepat mungkin.”

Menurut laporan MARCA, Bale dijangka akan terus kekal di Real Madrid selepas tiada kelab yang berminat untuk mendapatkan khidmat beliau untuk musim baharu 2020/2021.

Dengan penyebaran wabak Covid-19, ianya turut mengecilkan peluang untuk Bale memilih untuk hidup di tempat lain selain Madrid dengan sebelum ini beliau sering dikaitkan dengan kepulangan semula ke Premier League.

Tottenham Hotspur dan juga Manchester United adalah dua pasukan yang sering dikaitkan potensi untuk mendapatkan Bale dari Real Madrid.

Ketika Newcastle United dikaitkan dengan prospek pengambilalihan kepada pemilik baharu, Bale turut dikaitkan dengan potensi untuk kembali ke Premier League dengan menyarung jersi belang hitam putih pasukan tersebut.

Tetapi kini situasi itu nampak jauh panggang dari api. Real Madrid mungkin terpaksa membayar ‘gaji buta’ kepada Bale sehingga kontraknya tamat pada 2022 nanti.

Baca juga artikel lain yang berkaitan:

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram