Real Madrid Kelab Hebat, Tetapi Saya Gembira Di City – Sterling

Real Madrid disifatkan sebagai sebuah kelab yang hebat oleh Raheem Sterling. Namun demikian pemain antarabangsa England itu kini berkata beliau gembira bersama Manchester City.

Pemain berusia 25 tahun itu dikaitkan dengan perpindahan ke Real Madrid selepas Manchester City dihukum gantung selama dua musim dari beraksi di Liga Juara-Juara Eropah (UCL) oleh UEFA.

“Sekarang saya berada di City, dan saya sangat gembira. Tetapi saya harus katakan Real Madrid adalah sebuah kelab yang hebat,” kata Sterling kepada akhbar Sepanyol, AS.

“Apabila anda melihat jersi berwarna putih itu, anda akan tahu makna di sebalik kelab ini. Ia amat besar.”

“Tetapi pada masa yang sama saya mempunyai kontrak dengan City, dan saya harus menghormati itu. Tetapi [Real Madrid] adalah kelab yang hebat,” tambah bintang England itu lagi.

City akan beraksi menentang Real Madrid di pusingan 16 pasukan terbaik Liga Juara-Juara Eropah pada Rabu hadapan di Santiago Bernabeu, dan perlawanan timbal balik di Etihad pada 17 Mac hadapan.

Gergasi bola sepak Sepanyol itu telah menjuarai trofi elit eropah itu sebanyak 13 kali, termasuk tiga kali berturut-turut ketika di bawah kendalian Zinedine Zidane pada musim 2016 sehingga 2018.

“Pada pendapat saya untuk memenangi UCL banyak kali dan berturut-turut adalah sesuatu uang amat sukar.

“Saya berpendapat ia bukan nasib. Ia adalah formula. Sebahagian orang memiliki mentaliti kemenangan dan akan menang dengan kerap.

“Ada sesuatu yang beliau [Zinedine Zidane] telah bina ketika karier hebat sebagai pemain, dan kini sebagai pengurus. Maka sentuhan kemenangan itu berterusan.”

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram