Reaksi Thomas Tuchel Berkait Komen Antonio Conte Tentang Romelu Lukaku

Reaksi Thomas Tuchel berkait komen Antonio Conte tentang Romelu Lukaku adalah biasa-biasa sahaja dengan pengurus dari Jerman itu langsung tidak terasa hati.

Tuchel langsung tak terasa dengan komen dari bekas pengurus Inter Milan itu berkait cara bagaimana beliau menggunakan Romelu Lukaku.

Penyerang kebangsaan Belgium itu berada di tahap persembahan terbaiknya sejak dua musim terakhirnya bersama Inter Milan di bawah kendalian Conte.

Aksi hebat yang beliau pamerkan telah menyebabkan Chelsea sanggup mengeluarkan dana memecah rekod untuk mendapatkan semula khidmatnya.

Selepas memulakan karier keduanya di Stamford Bridge dengan sangat cemerlang, bekas penyerang Manchester United dan Everton itu dilihat serba tidak menjadi dalam beberapa perlawanan terakhir ini.

Bekas pengurusnya, Antonio Conte tampil mendedahkan tentang apa yang beliau rasakan menjadi punca kemerosotan prestasi Lukaku sejak kebelakangan ini.

Pengurus dari Itali itu merasakan yang Chelsea sebenarnya tak pandai menggunakan Lukaku dengan cara yang betul.

“Saya tak fikir Chelsea sudah mengkaji lebih dalam tentang bagaimana untuk menggunakan dia. Dia seorang pemain penyerang yang sangat spesifik. Pastikan Lukaku masuk ke dalam kotak, merupakan ancaman bahaya untuk pasukan lawan.”

“Walau bagaimanapun, kalau dia bermula dari midfield, dia juga sebenarnya sangat pantas. Ia sangat sukar untuk mendapatkan pemain yang boleh bermain sebagai ‘target man’ dan turut boleh berlari dari kawasan midfield.”

Selepas kekalahan kedua berturut-turut Chelsea dari semua pertandingan baru-baru ini, Thomas Tuchel telah ditanya tentang komen Conte berkait Lukaku.

Pengurus Chelsea itu kemudiannya menjawab:

“Dia jelas sudah tidak berada di tahap persembahan terbaiknya sejak aksi bertemu Tottenham. Saya tak rasa tersinggung, dia ada hak, dia berada dalam studio TV. Saya bahkan turut menonton rancangan itu sebelum mandi selepas tamat perlawanan di hotel.”

“Saya nampak dia bercakap tentang kami dan saya nampak semua gambaran tentang Lukaku dan semua pemain saya sejak dari aksi bertemu Tottenham Hotspur.”

“Mereka bercakap tentang ‘link-up’ permainan antara pemain lain dengan Lukaku, dan bagaimana kuat dan bagaimana kerapnya Lukaku menjaringkan gol, jadi mereka turut memuji dia.”

“Saya boleh nampak itu, tapi ia bukan masalah Romelu Lukaku. Pasukan lain mengubah struktur mereka untuk mengawal Romelu, tapi ada penyelesaian untuk masalah itu dan kami sedang berusaha ke arah itu.”

Chelsea pada malam ini bakal turun beraksi bertemu Southampton dalam aksi saingan Premier League.

Mereka hanya ketinggalan satu mata sahaja di belakang Liverpool yang sedang mendahului puncak saingan liga, dengan skuad kendalian Thomas Tuchel itu terdesak untuk mencatatkan kemenangan agar tidak tergelincir dari perebutan dalam mencabar kejuaraan liga.

Karier Conte bersama Chelsea

Antonio Conte bertugas sebagai pengurus Chelsea selama dua musim pada 2016/2018, dengan beliau berjaya membantu The Blues menjuarai gelaran Premier League pada musim pertamanya di Stamford Bridge.

Walau muncul Juara pada musim pertamanya, Conte gagal mengendalikan Chelsea dengan baik pada musim berikutnya.

The Blues mengakhiri saingan Premier League pada musim berikutnya dengan berada di kedudukan kelima sahaja, namun Conte tetap berjaya membawa pulang satu Piala pada ketika itu.

Beliau berjaya membantu Chelsea untuk memenangi Piala FA pada musim keduanya di Stamford Bridge, sebelum meninggalkan Chelsea.

Antonio Conte terkenal dengan sikap dan teknik yang agak keras ketika mengendalikan kelab, yang mana ia berkesan terhadap pemain untuk tempoh waktu seketika.

Walau bagaimanapun, hal itu lama-lama telah mencetuskan rasa tidak senang para pemain senior, yang tidak gemar dengan kaedah dan pendekatan yang beliau gunakan.

Beliau kemudiannya mengendalikan Inter Milan, yang mana Conte berjaya membantu kelab memenangi gelaran Serie A pada musim lalu.

Dek kerana mempunyai masalah perbezaan pendapat dan hala tuju, Conte memilih untuk meninggalkan Inter Milan dan sedang menanti tawaran baru dari pasukan lain selepas ini.

Sama ada Tuchel benar-benar dengar dan faham tentang komen Conte atau tidak, jawapannya mungkin akan diketahui malam ini.

Tuchel menegaskan yang beliau bersama tenaga kejurulatihannya sudah mengenal pasti cara bagaimana untuk mendapatkan yang terbaik dari Lukaku

Jadi aksi pada malam ini boleh jadi kayu ukur atau uji kaji untuk mereka gunakan kaedah atau pendekatan baru agar Lukaku boleh pamer aksi terbaiknya.

Sumber:

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply