RB Leipzig Sambar Andre Silva Dari Eintracht Frankfurt

Andre Silva RB Leipzig

Penyerang Portugal, Andre Silva sah meninggalkan Eintracht Frankfurt untuk menyertai sebuah lagi kelab Bundesliga, RB Leipzig dengan kontrak lima tahun.

Musim lalu penyerang berusia 25 tahun itu mencuri tumpuan selepas menjaringkan 28 gol dalam 32 perlawanan Bundesliga, hanya penyerang prolifik Bayern Munich, Robert Lewandowski sahaja yang mempunyai rekod jaringan yang lebih baik.

Silva telah menjaringkan ke atas 15 dari 17 pasukan lawannya di Bundesliga. Dua pasukan yang tidak ditembusi hanyalah juara dan naib juara liga iaitu Bayern dan pasukan baharunya Leipzig.

“Saya sangat teruja untuk berdepan cabaran baharu di RB Leipzig. Kelab ini mempunyai matlamat dan cita-cita yang besar dan saya mahu bantu mereka mencapainya, dengan cara menjaringkan gol sebanyak mungkin,” ujar Silva.

“Saya mahu bermain di peringkat tertinggi dan ia adalah Liga Juara-Juara Eropah. Bersama RB Leipzig saya berpeluang untuk melakukannya.”

Silva berdepan dengan turun naik dalam kariernya. Selepas cemerlang FC Porto di permulaan karier profesionalnya, beliau berhijrah ke AC Milan pada 2017 dengan yuran perpindahan €38 juta dan mengikat kontrak selama lima tahun.

Jersi nombor 9 yang diberikan kepadanya menunjukkan harapan menggunung tinggi diletak di atas bahunya, namun keberadaannya di San Siro serba tidak menjadi.

Beliau kemudian telah dipinjamkan Sevilla pada musim berikutnya dan masih bergelut untuk membuktikan keupayaan sebenar yang dimiliki.

Berkat kesabaran yang dimiliki, Eintracht Frankfurt akhirnya menjadi penyelamat kepada kariernya selepas beliau menyerlah dengan menjaringkan 45 gol dari 71 perlawanan dalam semua pertandingan.

“Saya mahu berterima kasih banyak kepada Eintracht Frankfurt. Saya mendapat dua tahun yang penuh kejayaan di sana dan berpeluang untuk berkembang dengan sebaiknya.”

Sementara itu, pengarah teknikal Leipzig, Christopher Vivel berkata pihaknya beruntung kerana berjaya mendapatkan salah sorang penyerang terbaik di Bundesliga.

“Gaya permainannya sangat sesuai dengan pasukan kami. Andre merupakan penjaring gol semula jadi dan pencapaiannya menjaringkan 28 gol pada musim lalu adalah bukti keupayaannya,” ujar Vivel.

“Dia adalah penyerang yang serba lengkap, boleh menjaringkan gol dengan kedua-dua belah kaki, juga sangat bagus di udara dan secara teknikalnya amat berbakat.”

Silva membuat tiga penampilan bersama skuad kebangsaan Portugal di Euro 2020 dan membantu pasukannya mara sehingga peringkat 16 terakhir.

Jesse Marsch yang menggantikan Julian Nagelsmann juga telah membawa masuk Josko Gvardiol, Mohamed Simakan dan Brian Brobbey bagi membentuk wajah baharu Leipzig.

Baca juga artikel kami yang lain mengenai perkembangan bola sepak Eropah:

5 Pemain Yang Akan Bersaing Rapat Untuk Ballon d’or 2021

Chelsea Paling Hebat, “Supplier” Terbesar Pemain Di Separuh Akhir Euro 2020

Wolves Tambah Lagi Pemain Portugal, Pinjam Trincao Dari Barcelona

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply