Rating Colombia vs England, Harry Kane Tenang Kemudi ‘The Three Lions’

Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
Share on whatsapp
Share on email
Rating

Kemenangan England keatas Colombia menerusi sepakan penalti telah membawa skuad bimbingan Gareth Southgate itu ke peringkat suku akhir.

Berikut adalah rating para pemain pada perlawanan tersebut.

Colombia

David Ospina – 6.0

Tidak banyak diuji barisan serangan England apabila hanya dua percubaan tepat yang dicipta mereka.

Melakukan tumbukan bagi menafikan percubaan pada minit ke-6 oleh Ashley Young.

Bertindak cemerlang menepis sepakan penalti yang dilakukan Jordan Henderson.

Santiago Arias – 5.0

Memilih untuk tidak membantu jentera serangan. Hanya kekal di posisinya.

Antara pemain Colombia yang hampir mendapatkan kad merah.

Davinson Sanchez – 7.0

Walaupun England lebih penguasaan bola, beliau tetap kental bertahan terutamanya pada babak pertama.

Turut beraksi baik dan tidak melakukan kesilapan pada babak kedua.

Yerry Mina – 7.5

Sedikit goyah pada separuh masa pertama. Namun, aksinya meningkat sedikit demi sedikit.

Menjaringkan gol penyamaan menerusi tandukan cemerlang yang menjadi ‘trademark’nya pada minit akhir permainan bagi mengheret perlawanan ke masa tambahan.

Johan Mojica – 6.5

Seperti Arias, beliau juga turut tidak banyak membantu jentera serangan pada separuh masa pertama dan bergelut untuk bersaing dengan Kieran Trippier.

Aksinya meningkat pada separuh masa kedua dan masa tambahan apabila sesekali melakukan hantaran lintang ke dalam kotak penalti England.

Carlos Sanchez – 6.5

Beraksi dengan baik untuk menidakkan kreativiti jentera tengah England pada separuh masa pertama.

Beliau menjatuhkan Harry Kane tanpa sebab pada babak kedua untuk memberikan sepakan penalti buat England.

Wilmar Barrios – 5.5

Berusaha keras untuk mengganggu corak permainan England. Amat bernasib baik kerana tidak mendapat kad merah selepas mengasari Henderson.

Jefferson Lerma – 5.0

Cuba membantu jentera serangan Colombia tetapi tidak banyak yang dapat dilakukannya.

Dikeluarkan pada minit ke-62.

Juan Cuadrado – 5.5

Bergelut bagi mempamerkan aksi terbaiknya dan tidak banyak mendapat bola dari rakan sepasukan.

Berjaya menyempurnakan sepakan penalti kedua buat Colombia.

Juan Quintero – 5.5

Dengan ketiadaan James Rodriguez, beliau cuba untuk menjadi pemain yang terbaik dalam padang buat Colombia.

Namun, tidak banyak yang dapat dilakukannya bagi mempengaruhi permainan.

Radamel Falcao – 6.0

Cuba untuk menjadi inspirasi buat Colombia, namun bergelut untuk memberikan impak yang berkesan dalam permainan.

Mendapat peluang terbaik untuk menanduk bola pada separuh masa pertama masa tambahan. Bagaimanapun, tandukan beliau tersasar.

Berjaya menyempurnakan sepakan penalti pertama.

Pemain simpanan 

Carlos Bacca – 5.0

Mendapat kad kuning beberapa minit selepas dimasukkan. Tidak ada peluang untuk mendapatkan percubaan tepat.

Gagal menyempurnakan sepakan penalti yang sekaligus membawa kepada kegagalan Colombia ke peringkat seterusnya.

Mateus Uribe – 6.0

Melepaskan rembatan cantik yang memaksa Pickford bekerja keras bagi menafikan percubaan tersebut.

Selepas daripada percubaan itu, Colombia mendapatkan jaringan penyamaan.

Gagal menyempurnakan sepakan penalti.

Luis Muriel – 5.0

Tidak banyak dapat dilakukan sepanjang masa tambahan. Namun, masih mampu beraksi dengan baik.

Menyempurnakan sepakan penalti.

Christian Zapata – 5.0

Masuk pada masa tambahan bagi menguatkan jentera pertahanan. Hanya sempat beraksi selama lima minit sahaja.

England 

Jordan Pickford – 7.5

Tidak diuji pada babak pertama melainkan percubaan jarak jauh pada lewat permainan dari Juan Quintero.

Menafikan dengan cemerlang percubaan dari Uribe. Tetapi kemudian gagal menghalang tandukan Mina yang memberikan gol penyamaan buat Colombia.

Cemerlang menepis sepakan penalti yang dilakukan Bacca.

Kyle Walker – 6.5

Kelihatan sedikit goyah apabila Colombia melancarkan serangan balas pantas, namun masih berjaya turun bagi menyelamatkan keadaan.

Kesilapannya hampir memakan diri apabila sedikit cuai pada minit ke-81.

Dikeluarkan pada minit ke- 113.

John Stones – 7.0

Bergelut untuk merantai pergerakan Falcao tetapi dapat menjalankan tugas dengan baik untuk menidakkan sebarang percubaan.

Sering melakukan kesilapan hantaran pada masa tambahan separuh masa pertama.

Harry Maguire – 7.5

Banyak menguasai perebutan bola di udara dan juga banyak mengeluarkan bola dari kawasan bahaya.

Kental pada separuh masa kedua dan merupakan ancaman buat Colombia ketika situasi ‘set pieces’.

Kieran Trippier – 7.5

Seringkali mencipta hantaran lintang yang menarik buat barisan serangan.

Juga beraksi dengan baik di jentera pertahanan. Banyak tenaga dikerah kerana pada masa tambahan beliau seringkali turun naik bagi membantu rakan sepasukan.

Menyempurnakan sepakan penalti dengan tenang.

Ashley Young – 7.0

Tidak banyak melakukan ‘overlap’ seperti kebiasaan. Bagaimanapun pada separuh masa kedua semakin baik dan melakukan beberapa hantaran lintang yang baik terutama menerusi sepakan percuma.

Kental di bahagian pertahanan.

Jordan Henderson – 7.0

Memainkan peranan dengan berkesan untuk membantu jentera tengah.

Turut tenang pada separuh masa kedua, namun gagal menyempurnakan sepakan penalti apabila Ospina berjaya membaca arah sepakannya.

Dele Alli – 5.0

Kelihatan bergelut dengan kecederaan lama yang dialaminya. Gagal memberikan sumbangan positif buat pasukan.

Masih mampu memberikan ancaman dengan tandukan yang sedikit melewati palang gol.

Jesse Lingard – 6.0

Pasif pada separuh masa pertama selain beberapa larian baik yang dilakukannya.

Aksinya semakin meningkat pada separuh masa kedua tetapi masih belum mampu untuk menghadirkan sesuatu yang lebih baik.

Raheem Sterling – 6.0

Larian yang baik di kiri dan kanan jelas mengkucar-kacirkan jentera pertahanan Colombia.

Berusaha keras, namun, seringkali gagal menyaingi fizikal pemain pertahanan lawan.

Harry Kane – 8.0

Mengawal permainan dengan baik apabila beraksi sedikit ke bawah. Tandukannya melewati palang pada separuh masa pertama.

‘Memegang’ bola dengan baik dan menggunakan kelebihan kekuatan fizikalnya untuk memberikan kesukaran buat Colombia.

Menyempurnakan dua sepakan penalti yang dipertanggungjawabkan.

Pemain simpanan 

Eric Dier – 5.0

Ditugaskan bagi membantu bahagian pertahanan. Namun tidak banyak dapat dilakukan dengan beberapa hantaran yang kurang baik dilakukannya.

Menyempurnakan penalti yang sekaligus membawa England ke suku akhir.

Jamie Vardy – 5.0

Masuk menggantikan Raheem Sterling pada minit ke-88. Tidak dapat membuktikan kehebatannya apabila kurang mendapat bola pada masa tambahan.

Danny Rose – 5.5

Hampir menjaringkan gol kemenangan pada masa tambahan tetapi percubaannya sekadar lalu dihadapan pintu gol Colombia.

Marcus Rashford – 5.0

Masuk bagi menambah tenaga buat England untuk mencari jaringan. Masa yang diperolehinya tidak mencukupi untuk membuktikan sesuatu.

Menyempurnakan sepakan penalti.