RASMI: Steve Bruce Sah Tinggalkan Newcastle United, Beri Laluan Pengurus Baharu

Steve Bruce secara rasmi berpisah dengan Newcastle United pada hari ini selepas pemilik baharu kelab tersebut mahukan perubahan – disifatkan sebagai perkara yang tidak boleh dielak.

Bruce telah mengendalikan Newcastle selama dua tahun selepas tampil sebagai pengganti kepada Rafael Benitez pada 2019, dan mengendalikan perlawanan ke-1000 sebagai jurulatih peringkat kelab ketika tewas 3-2 kepada Tottenham pada hujung minggu lalu.

Paulo Fonseca, iaitu bekas pemain Shakhtar Donetsk dan jurulatih Roma dilaporkan oleh The Guardian sebagai salah seorang calon pilihan yang akan menggantikan Bruce di St. James Park.

Fonseca kini tidak terikat dengan sebarang kelab dan merupakan antara calon untuk mengemudi Tottenham pada Jun lalu.

Bruce yang berusia 60 tahun membantu mengekalkan Newcastle di Premier League selama dua musim, namun ia jelas beliau bukanlah watak popular untuk mengantikan Benitez. Kedudukan Bruce semakin sukar selepas pengambilalihan Newcastle oleh konsortium Arab Saudi dilengkapkan beberapa minggu lalu.

Musim ini menyaksikan Newcastle belum memenangi sebaran perlawanan, dan kelab itu berada di tempat kedua tercorot kedudukan Liga Perdana Inggeris.

Pemergian Bruce dari kelab Tyneside itu bermakna beliau akan dibayar pampasan sekitar £7 juta.

“Newcastle United boleh mengesahkan Steve Bruce sudah meninggalkan posisi sebagai Ketua Jurulatih secara persetujuan bersama,” ujar kelab tersebut dalam satu kenyataan.

“Saya berterima kasih kepada setiap individu yang berkaitan Newcastle United untuk peluang mengendalikan kelab bola sepak yang unik ini,” ujar Bruce pula.

“Saya juga mahu berterima kasih kepada jurulatih-jurulatih yang telah bersama saya, pemain-pemain dan staff sokongan untuk kerja keras mereka. Ada waktu naik dan turun, tetapi setiap daripada mereka memberikan yang terbaik pada saat sukar dan patut bangga dengan usaha masing-masing.

“Ini adalah sebuah kelab yang memiliki sokongan luar biasa, dan saya berharap pemilik baharu boleh membawa kelab ini terus ke hadapan di mana mereka selayaknya berada. Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada semua pihak untuk baki saingan musim ini, dan cabaran selepas itu.”

Tidak dapat dipastikan sama ada Bruce akan mengendalikan pasukan lain dalam masa terdekat atau memilih untuk bersara.

Sepanjang karier kejurulatihan beliau pernah mengendalikan pasukan seperti Sheffield United, Huddersfield, Birmingham, Crystal Palace, Wigan, Sunderland, Hull dan Sheffield Wednesday.

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply