RASMI: Penang FC Bawa Masuk ‘Ubi Muda’ Tajikistan, Sheriddin Boboev

Sheriddin Boboev FB Penang FC 2021

Penang FC melengkapkan senarai pemain import mereka musim depan dengan kemasukkan pemain muda skuad kebangsaan Tajikistan, Sheriddin Boboev, hari ini.

Sebagaimana yang diura-urakan sebelum ini, Penang FC sedang memerhatikan pemain dari Jepun atau Tajikistan bagi melengkapkan senarai pemain import mereka musim depan selepas mengekalkan tiga daripada empat pemain import musim ini.

Pada awal bulan lalu, Penang FC sudah pun membawa masuk pertahanan kacukan Indonesia-Jepun, Ryuji Utomo untuk kouta ASEAN daripada Persija Jakarta.

Selain itu, pemain yang telah dilanjutkan kontrak adalah Casagrande, Endrick dos Santos dan pertahanan, Rafael Vitor. Seorang lagi pemain iaitu Lee Chang-hoon dikatakan mahu pulang ke Korea Selatan dan tidak melanjutkan kontraknya.

Penang FC layak ke Liga Super musim depan selepas menjuarai saingan Liga Premier buat julung kalinya. Untuk rekod ia merupakan ‘tiket’ kedua mereka selepas promosi ke Liga Super 2020 telah diberikan kepada PDRM FA apabila mereka gagal melunaskan tunggakan gaji bekas pemain import, Reinaldo Lobo mengikut tempoh masa.

Pemain kelab FC Istiklol yang bersaing di Tajikistan Higher League itu dikatakan bakal bergandingan bersama Casagrande, Endrick dos Santos di jentera hadapan dan untuk rekod, pemain berusia 21 tahun itu adalah pemenang Kasut Emas dan membantu Istiklol menjuarai liga tersebut pada musim 2019 dengan menghasilkan 16 gol.

Sheriddin Boboev Malaysia Tajikistan Oktober 2019
Antara aksi Sheriddin Boboev ketika menentang Malaysia, pada Oktober 2019. FOTO: Bernama

Menariknya juga, Sheriddin Boboev juga pernah berada di Malaysia pada Oktober tahun lalu ketika beraksi bersama skuad kebangsaan Tajikistan menentang skuad negara. Perlawanan tersebut menyaksikan Malaysia meraih kemenangan tipis 1-0 ke atas pasukan yang berada di ranking ke-116 dunia, berbanding Malaysia, ke-158.

Ini merupakan musim pertama Penang FC bersaing di Liga Super dan melihatkan persediaan mereka setakat ini, ia boleh dikatakan menarik apabila telah membawa masuk pengendali berasal dari Republik Czech, Tomas Trucha sebagai pengganti Manzoor Azwira yang tiada Lesen Pro A yang diwajibkan kepada pengendali pasukan.

Dengan lengkapnya pemain import Penang FC, menarik untuk dilihat siapa pemain tempatan yang bakal menyertai mereka selepas telah mengesahkan dua pemain, C. Suwarna Raj dan bintang muda negara dan bekas pemain mereka, Jafri Firdaus Chew.

KREDIT FEATURED IMAGE: SYAVA PHOTO

Baca lagi artikel mengenai Penang FC:

RASMI: Pulau Pinang Pinjam Pemain Kacukan Indonesia-Jepun, Ryuji Utomo

Pernah Dikaitkan Dengan Kelantan, Ini 3 Fakta Pengendali Baharu Penang FC, Tomas Trucha

Empat Tonggak Pulau Pinang ‘Ditambat’ Semula Termasuk Casagrande

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply