RASMI: Pemain ‘Box-To-Box’, Anumanthan Mohan Kukuhkan Jentera Tengah Kedah

Anumanthan Mohan Kedah 2021

Akhirnya Kedah Darul Aman FC (KDA FC) mengumumkan secara rasmi penyertaan pemain tengah Singapura, Anumanthan Mohan sebagai pemain baharu musim depan.

Ianya bukan lagi rahsia kerana sejak dari awal kehadirannya ke Alor Setar sudah diwar-warkan oleh media di Singapura. Begitupun, ketika itu, kelibatnya di sesi latihan belum lagi kelihatan kerana beliau perlu melalui tempoh kuarantin wajib sebaik tiba.

Walaupun hadir selaku pengganti rakan senegaranya, Shakir Hamzah yang dilepaskan, Anumanthan Mohan bukanlah seorang pemain pertahanan. Sejak daripada awal lagi, pengendali, Aidil Sharin Sahak telah memaklumkan sebab Shakir Hamzah dilepaskan.

Dan ianya berkaitan posisi Shakir Hamzah yang merupakan seorang pertahanan dan beliau tidak mahu posisi itu memiliki dua pemain import untuk musim depan.

Oleh itu, Anumanthan Mohan yang juga boleh bermain di posisi benteng (posisi nombor 4 dan 5) hampir pasti tidak akan digunakan untuk peranan tersebut. Dua lagi posisinya adalah posisi nombor 6 dan 8 dan itulah kekurangan Kedah musim lalu.

Aidil Sharin sebelum ini dipetik berkata kepada akhbar Singapura, The New Paper, pemain berusia 26 tahun itu dibawa masuk untuk satu posisi dan Anumanthan Mohan menepati ciri-ciri pemain untuk posisi tersebut. Jadi, posisi yang mana?

Dijangkakan beliau akan membentuk gandingan tiga pemain tengah bersama kapten, Baddrol Bakhtiar dan Amirul Hisyam Awang Kechik dalam formasi 4-3-3. Cuma, pembahagian peranan tidak dapat dipastikan sama ada beliau akan bertahan, mengawal jentera tengah sahaja ataupun diberikan peranan sebagai box-to-box.

Melihatkan peranan Amin Nazari, pemain yang dilepaskan pada penghujung musim ini, beliau lebih kepada pemain box-to-box, namun beliau acapkali gagal menjelmakan aksi positif sepanjang diberikan peluang beraksi oleh Aidil Sharin.

Dan, jika anda melihat klip-klip permainan Anumanthan Mohan di S-League, itulah peranan yang dimainkannya. Beliau akan seringkali mengasak kawasan defensive third lawan. Beliau akan bermula dari jentera tengah, sama ada mengutip bola daripada pemain lawan atau mendapatkannya daripada rakan sepasukan.

Bercakap kepada media KDA FC, Anumanthan Mohan jelas teruja dan gembira dengan suasana di kem Kedah sejak ketibaannya. Katanya, “Mereka berjenaka dan ketawa bersama saya, seperti mereka dah kenal saya sekian lama, sekali lagi saya amat berbesar hati, cukup terkesan dan akan berjuang habis-habisan dengan pasukan ini.”

Malah, sebelum tiba di Kedah, beliau terlebih dahulu membuat persediaan sendiri kerana sedar akan lewat menyertai rakan-rakan lain disebabkan tempoh kuarantin wajib. Beliau membuat aktiviti pra-musim peribadi, latihan berat 5 kali seminggu bersama Majlis Sukan Singapura. Dan apabila tiba, beliau sudah di tahap terbaik.

Ujarnya, “Untuk berada di sini, saya cukup bertuah, cukup beruntung. Saya berterima kasih kepada Tuhan atas peluang ini dan saya bersedia untuk beraksi bersama Kedah.”

Sekali lagi harapan penyokong Kedah bakal melonjak sebagaimana ketika ketibaan Amin Nazari. Diharapkan ia bukan lagi harapan ‘palsu’. Namun kita tahu, impak pemain-pemain S-League yang datang ke Liga Malaysia sangat baik.

KREDIT FEATURED IMAGE: KDA FC

Baca lagi artikel lain mengenai Anumanthan Mohan dan Kedah:

Akhbar Singapura Ini Sahkan Anumanthan Mohan Sarung Jersi Kedah

Syarikat Automotif, Kelengkapan Pertahanan Jadi Pemilik Saham Terbesar Kedah

Melihat Kepada Kemungkinan ‘Perjanjian’ Pinjaman Pemain Antara Kedah, JDT

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply