RASMI: Lionel Messi Kini Sah Milik PSG

Lionel Messi kini sah menjadi milik Paris Saint-Germain (PSG) selepas pemain itu menandatangani kontrak selama dua tahun bersama jaguh Ligue 1 itu.

Pengesahan Messi bakal menyarung jersi PSG pada musim akan datang diumumkan oleh kelab itu sendiri melalui satu video pengenalan yang dikongsi melalui rangkaian media sosial pemain tersebut.

 

Walaupun tidak memaparkan wajah Messi, video dengan kapsyen “New Diamond in Paris” dan gambaran enam trofi Ballon d’Or cukup untuk memberi gambaran pemain itu sah bakal beraksi di Parc des Princes pada musim hadapan.

Pada sebelah petang tadi (waktu Malaysia) sebuah klip menunjukkan Messi dan keluarganya berada di lapangan terbang Barcelona untuk terbang ke Paris sudah pun mulai tular.

Ketibaan pemain itu di Paris turut disambut dengan meriah oleh ribuan penyokong PSG yang sudah menanti di lapangan terbang Paris

Menurut laporan beberapa akhbar dan media Perancis, Lionel Messi dipercayai akan menerima tawaran lumayan sebesar €35 juta setahun (selepas cukai) di PSG.

Messi terpaksa melupakan Barcelona disebabkan peraturan ketat La Liga yang enggan menerima kontrak lima tahun yang Barcelona tawarkan untuk pemain itu – disebabkan kedudukan perbelanjan kelab yang melebihi perolehan.

Jika Messi terpaksa menerima 50% pemotongan gaji di Nou Camp, L’Equipe melaporkan pemenang Ballon d’Or sebanyak enam kali itu akan menerima gaji yang lebih lumayan di Parc des Princes.

Bagaimanapun Messi hanya akan ditawarkan kontrak selama dua tahun, dengan kedua-dua pihak mempunyai pilihan untuk melanjutkan kontrak tersebut kepada setahun lagi.

Laporan sama turut mengesahkan Messi akan kekal menjadi pemain bola sepak profesional dengan pendapatan tertinggi di dunia, apabila PSG sanggup membayar pemain itu sebanyak €577,000 seminggu.

Secara keseluruhan, kontrak Messi bersama PSG boleh mencapai angka €105 juta untuk tempoh tiga tahun tersebut, dan ini tidak termasuk bayaran bonus atau yuran perjanjian kontrak yang dipersetujui kedua-dua pihak.

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply