RASMI: Felda United Sambar Bekas Pemain Monaco, Frédéric Bulot

Felda United telah sah mengikat pemain import dari Gabon, Frédéric Bulot yang juga merupakan rakan sepasukan Pierre-Emerick Aubameyang dalam pasukan kebangsaan negara Afrika itu.

Bulot semasa zaman kanak-kanak telah menyertai akademi sebuah kelab Perancis iaitu Tours FC dan kemudian Chatearoux sebelum dipikat akademi Monaco yang telah melahirkan pemain-pemain handalan dunia seperti Kylian Mbappe, Yannick Carrasco, Thierry Henry dan lain-lain lagi.

Di peringkat antarabangsa, Bulot beraksi untuk skuad kebangsaan Perancis dalam semua peringkat umur kecuali skuad senior kerana beliau akhirnya telah memilih untuk mewakili negara kelahirannya, Gabon dan setakat ini telah pun mengumpul 22 kaps bersama skuad kebangsaaan.

Bagi seorang pemain yang pernah beraksi bersama beberapa kelab ternama di Eropah seperti Monaco, Standard Liege (Belgium) dan Charlton Athletic (England), sudah tentu beliau mempunyai kemampuan dan kemahiran yang hebat.

Namun karier pemain tengah itu mula sedikit ‘tenggelam’ setelah dilanda kecederaan lutut yang serius sewaktu bersama kelab Perancis, Reims. Selepas daripada itu, prestasinya mula jadi tidak menentu dan bergelut untuk mencapai tahap permainan terbaiknya.

Namun demikian sudah banyak pemain yang membuktikan mereka mampu untuk bangkit dan kembali kepada prestasi terbaik mereka dan tidak menjadikan umur sebagai penghalang.

Lihat sahaja contoh terbaik di negara kita iaitu Brendan Gan yang bergelut untuk pulih daripada kecederaan lutut sebanyak dua kali dalam keriernya, tetapi pada hari ini beliau telah menjadi pemain yang cukup berprofil tinggi pada usia 31 tahun.

Ketua jurulatih, Nidzam Jamil pula telah terbukti berjaya ‘memulihkan’ karier beberapa orang pemain seperti Hadin Azman, Jasazrin Jamalauddin dan S. Chanturu.

Selepas kembali bersama kelab pertamanya di Perancis, Tours FC selama semusim, Frederick mencuba nasib untuk mengembangkan kariernya di Asia dengan menyertai kelab divisyen kedua Jepun, FC Gifu pada tahun lepas.

Ikuti temubual eksklusif SemuanyaBOLA bersama pemain baharu Felda United ini.

SB: Adakah anda pernah tahu apa-apa tentang bola sepak Malaysia sebelum datang ke sini?

FB: Jujurnya memang tiada. Cuma saya pernah datang ke sini kira-kira dua tahun lepas untuk menonton satu perlawanan akhir.  Jadi saya cuma tahu mengenai satu perlawanan itu sahaja.

SB: Anda tidak bermain hari ini, tetapi jurulatih Nidzam Jamil mengatakan beliau akan berikan anda peluang bermain dalam perlawanan [persahabatan] selepas ini. Jadi apa yang anda harapkan untuk perlawanan seterusnya?

FB: Saya baru sertai satu sesi latihan semalam. Perlawanan terakhir yang saya bermain adalah pada 24 November dan kemudian sehingga sekarang saya tidak lakukan apa-apa. Sudah tentu saya tidak cukup cergas kerana telah berehat terlalu lama.

Jadi saya perlukan masa dan berhati-hati. Sudah tentu saya mahu bermain kerana saya adalah pemain profesional. Semalam saya sudah mula berlatih dan jurulatih minta saya berehat hari ini kerana beliau tidak mahu mengambil risiko dengan keadaan saya.

Tetapi dia telah minta saya bersedia untuk perlawanan seterusnya dan ya saya katakan saya akan bersedia.

SB: Melihat kepada pengalaman anda sebelum ini, anda pernah beraksi bersama kelab-kelab yang hebat seperti Monaco, Standard Liege dan Charlton. Tetapi kemudian anda menyertai pasukan-pasukan yang kurang ternama. Apakah sebenarnya yang berlaku?

Mungkin karier saya mula bermasalah apabila saya dilanda kecederaan lutut dan ia berlanjutan sehingga dua tahun. Kemudian saya membawa diri ke Asia dan bermain di kelab Jepun bagi meningkatkan kembali keyakinan diri saya untuk terus menjadi pemain bola sepak profesional.

Sekarang saya ada di sini dan saya harap dapat kembali kepada prestasi terbaik saya.

Frederic BULOT- 16.10.2010 – Caen / Monaco – 9eme journee de Ligue 1 , Photo : Dave Winter / Icon Sport

SB: Dengan umur anda pada tahun ini akan mencecah 30 tahun, adakah anda masih mampu bermain dengan baik?

FB: Di sini saya baru dua hari menyertai rakan sepasukan dan berkenalan dengan mereka. Jadi saya mahu tingkatkan persefahaman dengan mereka semua dan saya harap kami semua akan melalui musim yang hebat pada tahun ini.

Apa yang saya boleh bawa ke dalam pasukan ini adalah pengalaman saya bermain di Eropah sama ada di dalam mahupun luar padang. Untuk mencapainya saya akan berusaha semaksimum mungkin untuk pasukan ini.

SB: Apa pendapat anda mengenai jurulatih Nidzam Jamil?

FB: Kali pertama berjumpa dengannya, saya dapati dia sangat ramah dengan saya dan dia berusaha untuk buat saya selesa di kelab ini. Saya telah katakan kepadanya saya akan berikan 1000 peratus komitmen kepada pasukan. Apa sahaja yang dia perlukan, saya sentiasa bersedia.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram