RASMI: Christian Pulisic Penuhi Impian ‘EPL’ Dengan Menyertai Chelsea

Borussia Dortmund telah mengesahkan bahawa pemain tengah mereka Christian Pulisic menyertai Chelsea dengan nilai €64 juta. Namun pemain itu akan kekal di Dortmund sepanjang baki musim ini secara pinjaman.

Ini bermakna Pulisic akan menyertai Chelsea pada musim 2019/20. Pemain antarabangsa Amerika Syarikat itu hilang tempat dalam kesebelasan utama Borussia Dortmund pada musim ini.

Namun begitu, beliau jelas antara pemain yang berkualiti dan dikehendaki banyak kelab. Sejak menyertai Dortmund pada 2015 beliau sudah bermain 115 perlawanan, menjaringkan 15 gol dan 24 bantuan gol.

Pemain berusia 20 tahun itu muncul kali terakhir bersama pasukan utama pada 29 September lalu. Kecemerlangan pemain seperti Jadon Sancho membuatkan Pulisic tidak mendapat tempat dalam kesebelasan utama pasukan.

Oleh sebab itu Pulisic menolak tawaran kontrak baru daripada kelab tersebut. Borussia Dortmund kemudian menyenaraikan pemain itu untuk dijual.

Namun begitu pihak Borussia Dortmund menafikan pemain itu enggan enggan melanjutkan kontrak kerana kecewa hilang tempat dalam kesebelasan utama.

Pengarah Sukan Borussia Dortmund, Michael Zorc menyatakan: “Ianya memang sudah menjadi impian Pulisic untuk bermain di EPL. Itulah yang menjadi sebab utama kami tidak dapat meyakinkan beliau untuk menandatangani kontrak baru.”

Christian Pulisic (kiri) merupakan salah satu contoh pemain yang lahir hasil didikan ibu bapa yang aktif melibatkan diri dalam pembangunan bakat bola sepaknya sejak berumur 2 tahun. (Foto oleh Sean M. Haffey/Getty Images)

“Oleh kerana itu, kami memutuskan untuk menerima bidaan Chelsea yang sangat lumayan.”

Michael Zorc yakin Pulisic akan terus memberikan aksi terbaik dalam usaha membantu Borussia Dortmund untuk cuba menjuarai Bundesliga musim ini.

Zorc percaya Pulisic profesional sejati dan akan memberikan fokus sepenuhnya kepada Dortmund sepanjang tempoh pinjaman walaupun milik Chelsea.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram