RASMI: B. Sathianathan Kemudi Selangor Hadapi Musim 2019

B. Sathianathan

Penantian Selangor bagi memuktamadkan nama yang bakal membimbing pasukan terlerai selepas B. Sathianathan telah dilantik sebagai ketua jurulatih skuad Gergasi Merah bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim 2019.

Sathianathan, 60 tahun, seperti diketahui umum adalah seorang jurulatih yang berpengalaman luas dalam kancah bola sepak tanah air.

Beliau turut berpengalaman di peringkat antarabangsa apabila pernah membimbing skuad kebangsaan pada tahun 2007 selepas membawa skuad B-23 negara menjuarai Pestabola Merdeka.

Dalam kancah bola sepak domestik, B. Sathianathan pernah membawa Kelantan menjuarai Piala Malaysia 2010 dan turut menjadikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagai antara pasukan yang disegani dalam saingan Liga Malaysia dari tahun 2011 hingga 2015.

Antara kejayaan yang dilakarkan B. Sathianathan ketika bersama ATM adalah menjuarai Liga Premier Malaysia 2012 yang sekaligus membolehkan The Gladiators beraksi dalam saingan Liga Super bagi tiga musim berturut-turut serta layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia 2012.

Pasukan terakhir yang dibimbing beliau adalah Felda United. Musim lalu, pasukan bimbingannya berjaya menamatkan saingan Liga Super di tangga ketiga yang sekaligus menobatkannya selaku ‘Jurulatih Terbaik Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2017’.

Namun, atas kesilapan teknikal yang dihadapi, Felda United dihukum untuk beraksi dalam dalam saingan Liga Premier 2018.

Ia bukanlah tugas yang sukar buat Sathia untuk membawa Felda United kembali ke liga utama tanah air itu, apabila menghadiahkan gelaran juara Liga Premier musim ini.

Pengalaman luas dalam selok-belok bola sepak tanah air pasti menjadi bekalan yang cukup buat B. Sathianathan untuk kembali menjadikan Selangor sebagai sebuah pasukan yang disegani.

Pemilihan bekas jurulatih Felda United ini dibuat selepas Selangor terlepas peluang untuk membawa masuk kembali sasaran utama, Mehmet Durakovic yang memilih untuk terus kekal bersama Perak.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram