Analisis: Adakah Rashford Lebih Bagus Daripada Jesus & Mbappe Untuk FIFA ‘Golden Boy’?

Anugerah FIFA ‘Golden Boy’ telah diumumkan pada malam tadi, dan pemenangnya ialah Kylian Mbappe. Turut berada di dalam senarai percalonan untuk anugerah tersebut ialah rakan senegara Mbappe, Ousmane Dembele yang beraksi bersama Barcelona.

Dua lagi pemain muda yang menonjol di dalam senarai percalonan ialah Marcus Rashford dan juga Gabriel Jesus masing-masing berpengkalan di bandar Manchester.

Bagaimana Mbappe boleh memenangi anugerah ini? Atau adakah benar Rashford lebih baik daripada Jesus? Analisa ringkas berpandukan data dari Squawka ini tampil untuk menerangkan kepada anda.

GABRIEL JESUS (MANCHESTER CITY & BRAZIL)
Manchester City
Penampilan: 23
Gol: 15
Bantuan gol: 6

Brazil
Penampilan: 5
Gol: 2
Bantuan gol: 1

(Photo by Paul Greenwood – CameraSport via Getty Images)

Setelah tiba dari Palmeiras pada Januari lalu, tidak ramai yang menjangkakan Gabriel Jesus akan terus memberikan impak, dengan tanggapan beliau memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan di England.

Sebaliknya yang berlaku. Jesus sangat menyerlah di dalam aksi di EPL dengan kadar jaringan 1 gol untuk setiap 72.125 minit aksi.

Pep Guardiola memainkan peranan penting dalam membantu Jesus menyesuaikan diri dengan persekitaran baru di Etihad. Di sebalik usia yang baru mencecah 19 tahun pada Januari lalu, pemain muda itu terus ditempatkan ke dalam skuad utama Manchester City.

Jesus tidak lagi menoleh ke belakang, lantas membalas kepercayaan yang diberikan oleh Guardiola terhadap beliau dengan beberapa siri aksi yang mantap.

Harus diingat. Jesus perlu bersaing dengan Sergio Aguero yang nyata sudah terbukti ketajamannya bersama Manchester City.

Namun demikian, Jesus sudah pun membuktikan bahawa beliau adalah aset masa hadapan untuk kelab dan negara untuk tahun-tahun yang mendatang.

Marcus Rashford (Manchester United & England)
Manchester United
Penampilan: 43
Gol: 12
Bantuan gol: 8

England
Penampilan: 7
Gol: 1
Bantuan gol: 1

(Photo by Michael Regan/Getty Images)

Selepas diberikan debut oleh Louis van Gaal dalam perlawanan menentang Midtjylland, karier Marcus Rashford terus berkembang bersama Manchester United dan juga England.

Di bawah kendalian Jose Mourinho, Rashford menunjukkan kualiti yang dimilikinya di sebalik barisan pemain serangan yang berada di Old Trafford seperti Zlatan Ibrahimovic, Romelu Lukaku dan juga Anthony Martial.

Kelebihan utama yang dimiliki oleh Rashford ialah kepantasan, kelincahan mengelirukan pertahanan lawan dan fleksibiliti untuk beraksi sebagai sayap kiri dan juga penyerang tengah jika keadaan memerlukan.

Walaupun beraksi di posisi sayap, Rashford masih mampu menghasilkan jumlah jaringan yang mengkagumkan. Pertanyaan terbesar bagi mereka yang mengikuti perkembangan karier Rashford ialah adakah beliau akan beraksi lebih banyak sebagai penyerang tengah pada masa hadapan?

Pada usia 19 tahun, Rashford sudah berjaya memiliki medal Piala FA pada 2016, dan Piala EFL dan juga UEFA Europa League pada musim lalu. Satu perkara yang pasti ialah Marcus Rashford adalah masa hadapan Manchester United dan juga England.

Ousmane Dembele (Barcelona, Borussia Dortmund & France)
Dortmund
Penampilan: 22
Gol: 4
Bantuan gol: 8

Barcelona
Penampilan: 3
Gol: 0
Bantuan gol : 1

Perancis
Penampilan: 4
Gol: 1
Bantuan gol: 1

(Photo by TF-Images/Getty Images)

Di dalam tempoh 2 tahun, Ousmane Dembele telah beraksi untuk Renes, sebelum berhijrah ke Borussia Dortmund dan kemudiannya menyertai Barcelona.

Dalam tempoh itu, Dembele turut merupakan pemain kedua termahal dunia selepas Neymar Jr. dan merupakan pemain utama skuad kebangsaan Perancis.

Ia adalah peningkatan karier yang drastik untuk pemain sayap kanan berusia 20 tahun ini. Dembele disifatkan sebagai baka pemain yang unik kerana kemampuannya menggunakan kedua-dua belah kaki secara semulajadi.

Kebolehannya ini membenarkan Dembele membawa bola ke kawasan byline sebelum melakukan hantaran lintang atau pun melakukan larian ke dalam sebelum melepaskan percubaan ke arah gol.

Kelebihan yang ada pada Dembele, membenarkan beliau beraksi di kedua-dua belah sayap kiri dan kanan pasukan yang diwakilinya.

Pada musim 2016/17, Dembele turut membantu kelabnya Borussia Dortmund bergelar juara DFB-Pokal. Sayang sekali kecederaan yang dialami ketika aksi bersama Barcelona merencatkan pencapaiannya pada tahun ini.

Kylian Mbappe (PSG, Monaco & France)
Monaco
Penampilan: 30
Gol: 20
Bantuan gol: 3

PSG
Appearances: 9
Gol: 4
Bantuan gol : 4

Perancis
Penampilan: 8
Gol: 1
Bantuan gol: 1

(Photo by Jean Catuffe/Getty Images)

Hanya ada satu pemenang untuk anugerah ‘Golden Boy’ oleh FIFA. Selayaknya juga untuk tahun 2017, Kylian Mbappe adalah pilihan utama ramai untuk anugerah ini.

Kemenangan pada malam tadi mengesahkan Kylian Mbappe sebaris dengan pemain-pemain hebat yang lain seperti Lionel Messi, dan juga rakan senegara Anthony Martial dan juga Paul Pogba yang turut pernah bergelar pemenang anugerah berkenaan.

Penampilan beliau bersama Monaco sehingga bergelar juara Ligue 1 pada musim lalu adalah menakjubkan. Sumbangan 20 gol pada usia hanya 18 tahun menjelaskan bakat yang ada pada Mbappe sebagai jentera pemusnah.

Beliau bukan sekadar mencipta nama di Perancis. Mbappe juga merupakan pemain muda dengan jaringan terbanyak di pertandingan UEFA Champions League dengan 8 gol pada 2017.

Pada mulanya, terdapat kerisauan bahawa perpindahannya ke PSG akan merencatkan perkembangan karier beliau. Namun setakat ini, Mbappe bergandingan dengan cemerlang bersama Neymar dan juga Edinson Cavani untuk PSG di Ligue 1 dan juga UCL.

Anugerah Golden Boy 2017? Mbappe selayaknya memenangi anugerah tersebut. Tahniah Kylian Mbappe!

Rumusan

Berdasarkan statistik dan analisa ringkas di atas, kami percaya bahawa 4 pemain teratas mempunyai kredibiliti masing-masing untuk berada di dalam senarai ‘Golden Boy’ award FIFA untuk 2017.

Siapa tahu? Satu hari nanti mungkinkah keempat-empat pemain ini akan menampilkan persaingan sepertimana yang ditampilkan oleh Lionel Messi dan juga Cristiano Ronaldo sejak lebih sedekad yang lalu untuk anugerah FIFA Best dan juga Ballon d’Or.

Siapakah pemain kegemaran anda? Jelaskan mengapa. Kami mahu mendengarnya daripada anda.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN