‘Rasa Nak Jadi Pemain Terakhir’ – Komen Baddrol Bakhtiar Mengenai ‘Gol Emasnya’

baddrol bakhtiar penalti sukan sea 2011

Masih ingat penalti yang diambil Baddrol Bakhtiar dalam perlawanan akhir Sukan SEA 2011 ketika Malaysia berjaya mempertahanankan pingat emas di bumi Indonesia?

Malaysia bertemu tuan rumah, Indonesia yang sebelum itu bersaingan bersama di Kumpulan A. Dalam aksi kumpulan, jaringan tunggal Syahrul Azwari sudah cukup untuk menundukkan mereka dan melangkah ke separuh akhir sebagai juara kumpulan.

Di separuh akhir, Malaysia bertemu Myanmar tanpa kehadiran pengendali, Datuk Ong Kim Swee yang telah digantung satu perlawanan selepas menyuarakan ketidakpuasan hati ketika aksi terakhir kumpulan, Harimau Malaya menentang Sang Garuda.

Namun, jaringan di lima minit terakhir perlawanan oleh Fakri Saarani telah membantu Malaysia untuk melangkah ke pentas final dan dipertemukan semula dengan musuh nusantara, Indonesia. Ia memang sudah dijangkakan akan menjadi aksi sengit.

Terikat 1-1 dalam masa sebenar dengan gol Malaysia dihasilkan oleh pertahanan, Asraruddin Putra Omar menerusi tandukan terbang untuk menafikan jaringan awal juga hasil tandukan Gunawan Dwi Cahyo, perlawanan diheret ke masa tambahan.

Bercakap kepada Stadium Angkasa, kapten skuad Sukan SEA 2011 itu telah berkata memang sejak awal beliau telah meminta kepada pengendali pasukan untuk menjadi pemain terakhir yang mengambil sepakan penalti, berbeza dengan kelazimannya.

“Memang ada maklumkan kepada coach [ambil sepakan terakhir], sebab sebelum ini selalu ambil yang kedua atau pertama. Jadi, malam itu masa penalti, rasa hendak ambil yang terakhir dan coach juga beri peluang,” ujarnya dalam rancangan itu.

Ketika ditanyakan mengenai sepakannya yang terlebih dahulu berjaya ditepis penjaga gawang Indonesia, Kurnia Meiga, Baddrol Bakhtiar berkata, “Pada awalnya, saya mahu pilih sudut di sebelah kanan [gawang], tetapi bola tersebut pergi ke tengah sedikit.”

Namun, bola yang ditahan oleh kaki Kurnia Meiga itu tidak cukup kuat apabila ia tetap bergolek memasuki gawang gol. Bungkam seluruh pelosok Stadium Gelora Bung Karno saat itu. Baddrol Bakhtiar berjaya menghadiahkan pingat emas buat Malaysia!

“Tekanan itu memang agak tinggi la sebab hendak menghadapi ratus ribu penyokong Indonesia. Sebelum ini ada pengalaman jadi saya sepak saja la. Masuk atau tidak, itu kehendak Ilahi,” tegas lagenda Hidup Kedah itu pula ketika bersiaran di Era.FM.

“Mula-mula rasa seperti tak masuk bola ini, tetapi tengok-tengok ianya bergolek balik,” tambahnya lagi yang sebenarnya turut berjaya mempertahankan pingat emas yang telah dimenanginya bersama Datuk K. Rajagobal dua tahun sebelum itu di Laos.

KREDIT FEATURED IMAGE: SUKAN ARENA 442

Baca lagi artikel mengenai Baddrol Bakhtiar:

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram