Identiti Yang Hilang, Rangnick Mahu Woodward & Man Utd Belajar Dari Kisah Porche Dan Mercedes

RALPH RANGNICK berkata kelab bola sepak boleh belajar daripada syarikat seperti Porsche dan Mercedes dengan membina ‘identiti korporat’ tersendiri, yang tidak akan digugat walaupun berlakunya perubahan di peringkat dalaman.

Gary Neville sebelum ini bercakap bagaimana Manchester United telah meninggalkan strategi yang diamalkan selama seratus tahun. Manakala Professor Damian Hughes menulis mengenai kepentingan amalan budaya di sebuah kelab bola sepak yang berjaya.

Identiti kelab bola sepak

Ragnick kini adalah Ketua Bahagian Sukan dan Pembangunan Bola Sepak kumpulan Red Bull, dan bersetuju bahawa kelab bola sepak sering kali hilang arah daripada pegangan yang mereka percaya selama ini.

“Jika anda membayangkan Porsche, Mercedes atau pun Aston Martin, anda pasti akan terbayangkan beberapa frasa penting yang mengaitkan jenama-jenama ini – seperti keselamatan, sporty, inovasi, atau pendahulu dari segi teknologi di pasaran automotif,” ujar Rangnick kepada The Times.

“Kelab bola sepak juga harus begitu, tetapi di beberapa kelab ia seperti hilang. Di England dan Jerman misalnya, setiap kali perubahan ketua jurulatih, identiti dan tingkah laku korporat juga akan berubah.

“Jadi jika anda menukar jurulatih, dan jurulatih baharu ini berkata, ‘ Saya tidak suka pemain ini dan ini, mari buang mereka.’

“Perkara ini tidak logik dan tidak masuk akal dari segi ekonomi. Seseorang harus mengambil tanggungjawab berkenaan pendirian kelab.”

Foto: Jan Woitas/dpa-Zentralbild/dpa +++(c) dpa – Bildfunk+++

Warga Jerman itu pernah memegang jawatan Pengarah Sukan Red Bull Leipzig dan pernah menjadi tulang belakang kepada pembentukan identiti dan falsafah kelab bola sepak kelab Bundesliga tersebut – tatkala pengurus atau jurulatih pula berperanan kepada sasaran jangka masa pendek di padang.

Hari ini nilai pasaran Leipzig sudah mencecah angka £500 juta, manakala Salzburg pula bernilai £250 juta.

Ragnick menekankan perkara ini berlaku kerana Red Bull komited untuk berpegang kepada prinsip yang mereka percaya.

Apa berlaku di Manchester United?

Manchester United dikatakan aktif mencari seorang pengarah sukan dan Rangnick yang berpengalaman dalam bidang itu berkata terdapat banyak ruang dan visi United boleh perolehi dari jawatan tersebut. Namun beliau menolak kemungkinan untuk menyertai United buat masa ini.

“Saya gembira di mana saya berada sekarang, dan ia mesti ada sebab yang besar untuk saya pergi meninggalkan posisi di Red Bull,” ujar beliau.

Ketua Eksekutif Manchester United, Ed Woodward bersama Jose Mourinho

Tanpa seorang pengarah sukan, Ed Woodward yang memegang jawatan Ketua Eksekutif kelab dikatakan gagal di jendela perpindahan. Malah Rangnick bertanggapan warga Amerika itu gagal mencari formula yang diperlukan untuk kelab tersebut selama ini.

“Sejak Sir Alex [Ferguson] bersara, mereka [Manchester United] gagal menunjukkan prestasi sepatutnya. Mereka tidak pernah muncul juara liga sejak dari itu,” ujar Rangnick yang pernah bergelar pengurus bersama Stuttgart, Schalke dan Hoffenheim.

.(Photo by Alex Livesey/Getty Images)

Di man-mana kelab, jika anda gagal mendapatkan pemain yang betul, anda harus mengelak dari mengambil pemain yang salah. Malangnya, kedua-dua perkara tersebut berlaku di Old Trafford.

“Anda akan berada dalam masalah jika melakukan kesilapan sebegitu sepanjang dua atau tiga jendela perpindahan berturut-turut. Untuk membina sebuah kelab yang berjaya, ia bermakna anda membina sebuah pasukan yang betul dengan menjual keluar pemain yang betul, dan membawa masuk pemain yang mempunyai sekurang-kurangnya 50% kadar kejayaan.

“Seterusnya anda harus mempunyai seorang jurulatih yang berkebolehan untuk membentuk pemain ini untuk berjaya.”

Zaman kekelaman United

Sejak persaraan Sir Alex, Manchester United telah berbelanja besar untuk membawa ramai pemain bintang. Langkah tersebut dilihat sebagai jalan pintas yang memakan diri.

Reaksi Mourinho selepas kemenangan 2-1 Man. United di Turin dalam UCL 2018/19

Di kalangan tiga bekas pengurus yang pernah mengendalikan United selepas Sir Alex, Jose Mourinho adalah pengendali yang berbelanja paling mewah dengan nilai mencecah £391 juta untuk 10 pemain. Ia diiukuti oleh Louis van Gaal dengan nilai keseluruhan £271 juta.

David Moyes pula dianggap pengendali paling malang kerana hanya membelanjakan £64 juta pada ketika Woodward mengambil alih peranan eksekutif dari David Gill.

Ole Gunnar Solskjaer kini sudah membawa masuk tiga pemain dengan nilai keseluruhan £143 juta. Bagaimana pelaburan oleh Solskjaer untuk membawa United bersaing selepas ini belum lagi terbukti, walaupun ia bermula dengan positif pada ketika ini – walaupun pengurus yang merupakan bekas pemain ini kini seperti cuba mengembalikan identiti Manchester United yang hilang dengan mensasarkan pemain British dengan usia yang muda dan dahagakan kejayaan.

Rumusan

Daripada perkongsian Rangnick, kita tahu bahawa jawatan Pengarah Sukan adalah satu keperluan untuk kelab seperti Manchester United. Jika ada perkara yang boleh kita pelajari dari kisah kegagalan Manchester United sejak beberapa musim lalu pula, ia adalah betapa wang tidak boleh membeli kejayaan di dalam bola sepak.

Wang masih satu keperluan. Tetapi ia harus digunakan untuk membina falsafah bola sepak yang dikehendaki, dan bukan untuk membuka laluan pintas semata-mata.

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN