Ralph Hasenhuttl: Timo Werner Bakal Jadi Senjata Ampuh Buat Chelsea

Ralph Hasenhuttl

Pengurus Southampton, Ralph Hasenhuttl yang sebelum ini pernah membimbing RB Leipzig mengakui bekas anak didiknya, Timo Werner bakal menjadi senjata ampuh buat Chelsea sekiranya beliau menyertai kelab London itu.

Seperti yang diketahui, Chelsea dikatakan bersedia bagi mengaktifkan klausa pelepasan pemain skuad kebangsaan Jerman itu sekaligus semakin hampir untuk memeterai perjanjian bernilai kira-kira £54 juta dalam usaha membawanya ke Stamford Bridge.

Sebagai seorang yang cukup mengenali kualiti dimiliki peledak berbisa berusia 24 tahun itu, Hassenhuttl menjangkakan Werner akan menjadi senjata utama buat Frank Lampard pada musim hadapan.

”Bola sepak di England sangat berintensiti dan begitu pantas,” ujar Hasenhuttl menurut laporan dikeluarkan Goal.

”Kerana itulah ia amat sesuai dengan Timo, dengan kepantasannya dia akan menjadi senjata yang ‘brutal’ buat pasukan yang sesuai.”

”Dia kadangkala memerlukan bantuan atau sedikit dorongan tetapi apa yang saya sentiasa suka mengenainya adalah dia mampu menjaringkan gol yang tidak pernah dilakukan oleh orang lain.”

”Berikan dia sedikit ruang dan amat sukar untuk menghentikannya. Dia mempunyai banyak kualiti yang sentiasa meletakkan satu tahap di atas penyerang-penyerang lain,” tambah Hasenhuttl lagi.

Beraksi pada 30 perlawanan Bundesliga musim ini, Werner berjaya menjaringkan 25 gol sekaligus meletakkannya kini di tempat kedua senarai penjaring terbanyak. Ketinggalan lima jaringan di belakang penyerang terbilang Bayern Munich, Robert Lewandowski.

Kredit featured image: Oleg Nikishin/Bongarts/Getty Images

Baca artikel lain dari kami mengenai Ralph Hasenhuttl:

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply