MFL Harap Rakan Kongsi Faham Kegagalan Bayar Penuh Hak Penyiaran Liga Malaysia 2019

Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
Share on whatsapp
Share on email
MFL

Malaysian Football League (MFL) mengumumkan ketiadaan pendapatan hak penyiaran Liga Malaysia pada musim 2019 menyaksikan baki kedua hak penyiaran tidak dapat diagihkan kepada Rakan Kongsi MFL.

Bagaimanapun MFL yang mengadakan Mesyuarat Rakan Kongsi Luar Biasa MFL (EGM) Yang Pertama menjelaskan, biarpun berdepan kekangan itu, mereka tetap menunaikan tanggungjawab dengan mengagihkan hak penyiaran dan komersial sejumlah RM24 juta kepada rakan kongsi pada 15 Julai lalu.

Berdasarkan Perlembagaan MFL Jadual 7 (Pengedaran Pendapatan Rakan Kongsi Liga) dan 7A, jumlah agihan kepada Rakan Kongsi akan ditentukan oleh Ahli Lembaga Pengarah MFL jika pendapatan hak penyiaran dan komersial kepada Rakan Kongsi adalah kurang daripada RM18 juta.

Jelas apa yang berlaku pada musim ini, MFL tidak meraih pendapatan hak penyiaran seperti dirancang untuk diagihkan kepada rakan kongsi namun selaku pengendali Liga Malaysia masih berjaya mengagihkan pendapatan sebanyak RM1.5 juta kepada pasukan Liga Super dan RM500,000 kepada pasukan Liga Premier pada 15 Julai lalu.

“Liga Malaysia musim 2019 berjalan tanpa penaja utama hak penyiaran. Meskipun tanpa penajaan ini, MFL tetap menguruskan operasi Liga Malaysia dengan baik apabila semua pertandingan iaitu Liga Super, Liga Premier, Shopee Piala FA, Piala Malaysia dan Challenge Cup berjaya dianjurkan.

“Berdasarkan Perlembagaan MFL, 75 peratus daripada baki pendapatan diedarkan kepada setiap Rakan Kongsi dan pembahagian itu dijelaskan dalam Jadual 7 di mana hanya RM1 juta diberikan kepada Rakan Kongsi yang beraksi di Liga Super manakala RM 500,000 akan diberikan kepada Rakan Kongsi yang bertanding dalam Liga Premier.

“Jika pendapatan untuk diedarkan kepada Rakan Kongsi (merujuk kepada 75 peratus daripada pendapatan) adalah kurang daripada RM18 juta, maka jumlah yang akan diedarkan kepada Rakan Kongsi akan ditentukan oleh Ahli Lembaga MFL.”

“Namun MFL tetap memastikan agihan hak pendapatan kepada Rakan Kongsi pada 15 Julai lalu dan MFL percaya bahawa Rakan Kongsi memahami situasi yang berlaku di mana tiada penaja utama hak penyiaran pada musim 2019,” kata MFL dalam satu kenyataan rasmi, hari ini.

MFL turut menjelaskan bahawa badan pentadbir Liga Malaysia itu akan membuat bayaran pendapatan untuk musim 2020 berdasarkan pendapatan penajaan diraih dengan agihan kepada Rakan Kongsi dilaksanakan seperti apa yang termaktub di dalam Perlembagaan MFL.

Dalam EGM itu juga, 24 Rakan Kongsi bersetuju untuk meminda Artikel 16.1, Perlembagaan MFL berkenaan komposisi Ahli Lembaga Pengarah MFL di mana Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) tidak lagi berada dalam Ahli Lembaga Pengarah MFL.

Pindaan ini dibuat bagi menyelaraskan kedudukan CEO MFL supaya sama dengan kedudukan Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang tidak berada dalam Exco FAM.

Ini kerana CEO akan lebih fokus kepada tugas mengendalikan Operasi MFL dan bertanggungjawab untuk menyediakan laporan bagi rujukan Ahli Lembaga Pengarah dalam membuat keputusan namun tidak memiliki hak mengundi dalam Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah.

FOTO: MFL