Raiola: Pogba Perlu Pergi, Dia Dah Tak Gembira Di Manchester United

Pogba Raiola

Bintang Manchester United, Paul Pogba sekali lagi mencuri tumpuan apabila ejennya, Mino Raiola menegaskan bahawa ‘jodoh’ pemain kelahiran Perancis itu bersama The Red Devils sudah semakin menghampiri penghujungnya.

Pogba yang berjaya menjaringkan gol menarik pada aksi Liga Perdana Inggeris bertemu West Ham United tempoh hari dikatakan sudah tidak lagi gembira bersama United meskipun kontraknya masih berbaki sehingga tahun 2022.

Hakikat itu diakui sendiri Raiola dan turut memberikan gambaran jelas pemain berusia 27 tahun itu boleh kembali ke saingan Serie A untuk menyarung jersi kelab yang menaikkan nama dan kariernya, Juventus.

Tidak mendapat tempat pada pembabitan awalnya bersama skuad senior Manchester United menyaksikan Pogba memilih untuk berkelana ke Itali bagi bersama Juventus. Selepas empat musim yang memberangsangkan di Turin, Pogba kembali ke Old Trafford buat kali kedua pada musim 2016/17.

Permulaan yang boleh dikatakan cemerlang apabila Pogba menjadi antara nadi utama buat United dalam menjuarai kempen Liga Europa dan Piala Liga pada musim tersebut. Namun, langit tidak sentiasa cerah buat karier Pogba setelah kemelut kecederaan yang dialami menyaksikan peluangnya untuk beraksi dengan lebih kerap sejak dua musim terakhir ini semakin terhad.

”Ya, Paul Pogba boleh kembali semula ke Juventus. Dia tidak gembira berada di Manchester United,” ujar Raiola menurut laporan Goal.

”Paul tidak gembira dengan Man United kerana dia sudah tidak boleh untuk menonjolkan dirinya dengan cara yang dia inginkan dan yang seperti diharapkannya.”

”Paul memerlukan pasukan baharu, perubahan udara yang baharu.”

”Dia masih mempunyai baki kontrak untuk 18 bulan lagi dan akan tamat pada musim panas 2022 nanti,” tambah Raiola lagi.

Kredit featured image: Matthew Peters/Manchester United via Getty Images

Baca artikel lain dari kami mengenai Pogba dan Raiola:

Pogba Bukan Harta Milik Solksjaer – Raiola

Raiola Dedah Pogba Terdesak Mahu Tinggalkan Manchester United

Raiola Akan Ke Old Trafford Pada November, Bincang Hala Tuju Pogba

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply