Rahsia Malaysia Ada Dalam Poket Kami – Jurulatih Korea Utara

Jurulatih Korea Utara, Jorn Andersen memberi amaran bahawa beliau tahu semua taktikal yang akan digunakan oleh Harimau Malaya pada perlawanan Kelayakan Piala Asia 2019 di Stadium I-Mobile malam ini.

Menurut Andersen, pasukannya sudah tiga kali melakukan persiapan untuk berdepan Malaysia sebelum ia ditunda kerana masalah ketegangan politik yang melanda Korea Utara.

Malah, jurulatih kelahiran Norway itu menganggap penundaan perlawanan berdepan Malaysia sebelum ini memberi kelebihan pada pasukannya selepas Malaysia terpaksa tampil tanpa beberapa tonggak utama termasuk Aidil Zafuan Abd Radzak dan kapten Safiq Rahim yang digantung.

“Sudah pasti saya tahu banyak perkara mengenai Malaysia selepas tiga kali melakukan persiapan untuk berdepan mereka. Ia termasuk melihat corak permainan mereka menerusi video.

“Malah, penundaan perlawanan sebelum ini juga memberi kelebihan kepada kami dengan beberapa pemain mereka menerima kad merah ketika berdepan Hong Kong.

“Memang kami tewas 0-5 kepada Lubnan pada aksi sebelum ini, tapi saya fikir kami lebih bersedia untuk perlawanan kali ini,” katanya pada media.

Sesi latihan skuad Harimau Malaya di Buriram. (Gambar: FAM)

Aidil menerima kad merah pada aksi pertama berdepan Hong Kong pada 5 Oktober lalu dan digantung empat perlawanan oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) selepas didapati bersalah menolak pengadil.

Safiq pula tidak dapat diturunkan untuk aksi malam ini kerana dilayangkan kad merah pada aksi kedua berdepan Hong Kong, 10 Oktober lalu namun boleh beraksi semula pada perlawanan kedua berdepan Korea Utara, Isnin ini.

Pada masa sama, Andersen turut menyifatkan pemain Harimau Malaya mempunyai kelebihan kerana dilihat sudah biasa dengan keadaan cuaca di Thailand.

Sementara itu, pengendali skuad Harimau Malaya, Nelo Vingada optimis Malaysia akan mencatat kemenangan ke atas Korea Utara malam ini selepas membawa 23 pemain terbaik dari Liga Malaysia.

“Ini adalah perlawanan keempat kami dalam aksi Kumpulan B dan masih ada satu lagi slot untuk diburu selepas Lebanon selaku pendahulu kumpulan berada se­belah kaki untuk layak secara automatik ke Piala Asia 2019 nanti.

“Kini segalanya bergantung kepada kami, Hong Kong atau Korea Utara dan saya lihat secara matematik, peluang kami masih belum tertutup. Syarat yang pertama untuk mencerahkan peluang adalah dengan menang pada aksi malam esok.

Gambar: FAM

“Saya yakin kami mampu menamatkan badi tanpa kemenangan jika barisan pemain memberikan 100 peratus komitmen. Mungkin aksi terakhir menentang Hong Kong amat teruk, namun malam ini segalanya akan tampil berbeza,” katanya.

Vingada yang turut dikenali sebagai ‘The Profesor’ mengakui telah menemui formula terbaik untuk meraih keputusan positif pertama peri­badinya bersama skuad kebangsaan selain berharap barisan pemainnya tidak dilayangkan kad merah seperti dua aksi menentang Hong Kong sebelum ini.

“Saya akan melakukan beberapa rombakan dalam kesebelasan utama pada perlawanan ini kerana kami menerima kehadiran pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) yang sebelum ini tidak dapat mewakili pasukan seperti S. Kunanlan, Afiq (Fazail), Fazly (Mazlan) dan Azrif (Nasrulhaq).

“Ini kerana kami pada dua perlawanan menentang Hong Kong sebelum ini tidak bernasib baik apabila gagal mengekalkan 11 pemain di atas padang. Namun, sekiranya ia berlaku, saya tidak boleh menghalang kerana itu lumrah perlawanan,” katanya.

Kumpulan B saingan kelayakan ketika ini menyaksikan Lebanon di tangga teratas dengan 10 mata, Hong Kong di tangga kedua dengan 5 mata, Korea Utara ketiga dengan 2 mata dan Malaysia keempat dengan 1 mata. Lebanon dan Hong Kong sudah beraksi empat perlawanan manakala Korea Utara dan Malaysia kurang satu perlawanan.

Setakat ini skuad Harimau Malaya masih belum mencatat sebarang kemenangan sejak Nelo Vingada dilantik sebagai jurulatih. Jika tewas kepada Korea Utara, peluang skuad negara untuk ke Piala Asia 2019 sudah tertutup.

 

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply